Saintis China cetus kejutan

A
A
A

SAINTIS China terus bergerak jauh meninggalkan pesaingnya di pasaran teknologi dunia. Terbaharu, mereka berjaya mengembangkan penggunaan teknologi laser yang selama ini digunakan sebagai alat penunjuk, pemotong dan pengukur pita atau pakar perubatan ketika kerja pembedahan.

Namun, teknologi laser kini mampu melihat dan mengenal pasti objek tersembunyi di sebalik dinding pada jarak lebih satu kilometer (km).

Sebelum ini, laser mampu mencari barang pada jarak kurang satu meter mengguna pencitraan tanpa pandangan. Kejayaan terbaharu itu menimbulkan kekaguman kepada penulis. Bagaimanakah cara saintis China berfikir?

Penulis mendapati video simulasi ditularkan menunjukkan zarah laser memantul membuktikan ia dapat mengesan patung pada jarak 1.43 km di sebalik dinding tersebut.

Laporan media menyebut teknik terbaharu itu dikenali ‘penglihatan-tanpa-pandangan’ atau non-line-of-sight (NLOS). Ia sangat kritikal kepada aspek pertahanan, keselamatan dan pengangkutan.

Pasukan penyelidik di sebuah universiti di China dikatakan berjaya memasang sistem pemancar laser tersebut di dalam makmal universiti di tengah bandar Shanghai. Sebuah patung disembunyikan di belakang tembok pada jarak 1.43 km sebagaimana terbitan Prosiding Akademi Sains Kebangsaan China.

Laporan itu menyebut penyelidik mengunjurkan laser ke arah dinding makmal, kemudiannya tersebar pada pelbagai arah. Sebilangan zarah cahaya atau foton dipantulkan kepada patung yang disorokkan itu.

Dengan menganalisis tempoh perjalanan cahaya yang memantul ke dinding berbanding cahaya memantul antara dinding dan patung itu, sistem pemancar laser tersebut mampu mengira sejauh mana setiap bahagian patung diposisikan daripada dinding dan membina semula bayangan patung berkenaan dalam bentuk 3 dimensi (3D) mengguna model algoritma.

Artikel Berkaitan:

Penulis difahamkan sistem ini mampu menghasilkan kedudukan sebenar patung yang tersembunyi berdasarkan kepada tempoh masa perjalanan foton berbanding kelajuan cahaya.

Pada 2019, South China Morning Post (SCMP) melaporkan China berjaya mencipta laser berasaskan teknik NLOS yang mampu mengenal pasti kewujudan kapal selam di laut dalam.

Rangsang

Perkataan ‘laser’ adalah singkatan Light Amplification by Stimulated Emission of Radiation atau ‘penguatan cahaya oleh pelepasan dirangsang radiasi’.

Secara prinsipnya, ia merujuk kepada alat menghasilkan tenaga cahaya bagi tujuan tertentu. Alat yang menghasilkan laser ini akan merangsang atom atau molekul untuk memancarkan cahaya kepada panjang gelombang tertentu dan menguatkan cahaya seterusnya menghasilkan pancaran sinaran sempit dan tajam. Cahaya sentiasa bergerak dan tidak diam.

Perihal cahaya disebut ALLAH SWT dalam surah An-Nur ayat 35 bermaksud: “ALLAH (Pemberi) cahaya (kepada) langit dan bumi. Perumpamaan cahaya ALLAH adalah seperti sebuah lubang tidak tembus, di dalamnya ada pelita besar. Pelita itu di dalam kaca (dan) kaca itu seakan-akan bintang (yang bercahaya) seperti mutiara, yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang banyak berkahnya (iaitu) pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur (sesuatu) dan tidak pula di sebelah barat (nya) yang minyaknya (saja) hampir-hampir menerangi walaupun tidak disentuh. Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis), ALLAH membimbing kepada cahaya-Nya siapa yang Dia kehendaki dan ALLAH memperbuat perumpamaan bagi manusia, dan ALLAH Maha Mengetahui segala sesuatu.”

Teknik penggunaan laser belum begitu menyeluruh digunakan di Malaysia. Namun, Oil Palm Bulletin pada 2018 menyatakan Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berjaya mencipta alat pemotong tandan kelapa sawit menggunakan teknologi laser bagi mengurangkan tenaga buruh.

Penulis percaya pemantapan teknologi laser sangat berguna bagi memantapkan penggunaan teknologi terkini dalam mentransformasi Revolusi Perindustrian 4.0 untuk jadi lebih efisen dan pantas. Untuk ini, saintis Malaysia harus lebih peka mengejar rakan sejawat di Negara Tembok Besar China.

* Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteran Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!