Dengan nama ALLAH...: Angkasawan negara

Catatan yang dikongsi Sheikh Muszaphar di Instagram miliknya, hari ini.
Catatan yang dikongsi Sheikh Muszaphar di Instagram miliknya, hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha tampil menjawab persoalan bentuk sebenar bumi yang didakwa rata oleh sesetengah pihak.

Beliau yang merupakan angkasawan Islam ke-9 telah meneroka angkasa lepas menyifatkan menjadi tanggungjawabnya untuk menceritakan fakta sebenar.

“Adakah bumi ini rata? Hati ini terdetik untuk menjawab desas desus mengenai persoalan itu. Dengan nama ALLAH, ini datang jauh dari sudut hati saya.

“Bumi ini berbentuk sfera atau lebih tepat geo-sfera. Tertumpu di kutub dan bonjol di garisan Khatulistiwa

“Bukan macam bola tapi lebih kepada seperti telur. Saya cuma mahu membetulkan fakta. Setiap orang harus ke angkasa lepas jika berpeluang,” katanya dalam entri di Instagram, hari ini.

Tidak menujukkan kenyataan itu kepada sesiapa, namun sebelum ini penyanyi nasyid, Suhaimi Saad mencabar beliau bersumpah dengan nama ALLAH SWT bahawa bumi berbentuk bulat sfera.

Dalam pada itu, Sheikh Muszaphar berkongsi bagaimana perasaannya ketika melihat kebesaran ALLAH SWT ketika di angkasa lepas.

“Mengelilingi bumi sebanyak 16 kali sehari, setiap 45 minit matahari terbit dan terbenam, mengelilingi orbit dengan kelajuan 27,000 kilometer per jam, laungan azan kedengaran seketika, bibir terkumat-kamit terpegun dengan kebesaran Illahi.

Artikel Berkaitan:

“Melihat bumi dengan mata sendiri, degupan jantung berhenti seketika, meremang bulu roma, mata tidak terkebil, melihat kebesaran Maha Pencipta, amat sukar untuk digambarkan suasana di angkasa lepas. Bergetar jiwa sepanjang 12 hari di sana. Masya-ALLAH, Subhanallah,” tulisnya.

Menurutnya lagi, kesaksian itu akan mengubah perspektif sesiapa secara keseluruhannya.

“Menjadikan anda lebih yakin kepada Sang Pencipta. Pengalaman itu memang mengagumkan dan menakjubkan.

“Sukar sebenarnya nak ubah pemikiran golongan yang percaya bumi ini rata tapi saya kongsi di sini pengalaman apa yang saya telah lihat,” katanya.

Beliau berlepas ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) menggunakan roket Soyuz TMA-11 buatan Rusia pada 10 Oktober 2007 lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!