Pas pasti bijak pilih UMNO

UMNO dan Pas memeterai Piagam Muafakat Nasional pada September 2019.
UMNO dan Pas memeterai Piagam Muafakat Nasional pada September 2019.
A
A
A

MENJELANG Perhimpunan Agong UMNO (PAU2020), Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkongsi keyakinan mengenai persediaan dan jajaran politik UMNO menuju Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

SINAR HARIAN: Usul UMNO menolak kerjasama dengan Bersatu dijangka dimuktamadkan pada PAU nanti, apa akan jadi selepas itu?

AHMAD MASLAN: Kita perlu membuat persiapan PRU15. Tak kira bila PRU15, akhirnya ia kena diadakan juga. Saya berpandangan, setelah tiga tahun berlangsungnya penggal pentadbiran kerajaan, dua tahun terakhir adalah tahun persiapan.

Selepas 9 Mei 2021, siapa juga (wakil rakyat) yang meninggal dunia sudah tiada pilihan raya kecil (PRK). Jadi bermulanya tarikh itu, maka bermulalah persiapan habis-habisan untuk PRU.

Yang saya mahu terapkan dalam fikiran perwakilan adalah perkara ini (persiapan PRU). Saya juga akan berucap mengenai perkara ini sewaktu membuka gelanggang PAU 2020 nanti.

Adakah UMNO akan bersendirian, terus bersama MN atau mungkin melaksanakan jajaran politik baharu?

Mengenai jajaran baharu ini, Presiden sudah jelaskan perkara itu dalam media. Jadi kita terimalah apa yang disebut itu.

Dengan DAP tidak (kerjasama), PKR tidak (kerjasama). Dengan Pas, kita memang menubuhkan MN. Kita (sebenarnya) ada mesyuarat kerap dengan MN, ada mesyuarat yang kita lapor, ada yang kita tidak lapor.

Artikel Berkaitan:

Setakat ini, kerjasama kita mantap dengan MN, selepas itu kita juga kena bersama parti-parti lain seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) atas faktor UMNO dan BN (Barisan Nasional) tiada di Sarawak.

Jadi, adalah satu kewajipan bagi kita mendapatkan seberapa banyak kerusi. Paling pasti, kita kena berkongsi dengan GPS di Sarawak.

Kita juga perlu melihat kaedah politik di Sabah. BN akan terus kekal sebagai BN melalui gabungan parti MCA, MIC, PBRS (Parti Bersatu Rakyat Sabah) dan UMNO. Tentunya kita akan terus memantapkan UMNO dan BN. Kita perlu mendapatkan seberapa banyak kerusi kemenangan pada PRU15.

Selepas PRU15 kalau kita boleh menubuhkan kerajaan. Alhamdulillah. Kita perlu ada keyakinan itu. Bahkan (hubungan) dengan Pas, kita perlu ada keyakinan itu.

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan

Andai kata Pas memilih bersama Bersatu, adakah UMNO dan BN akan membuat jajaran politik lain?

Saya kira Pas akan buat keputusan bijak berdasarkan angka kajian politik. Sebagai contoh, Bersatu ada enam kerusi (asal Parlimen). Sebanyak 10 kerusi mereka (datangnya) daripada PKR campur tiga (wakil rakyat lompat parti). Mereka tidak masuk PN pun, cuma menyokong sahaja.

Sebanyak 15 kerusi Parlimen Bersatu pula berasal daripada kerusi UMNO. Pas mesti buat kajian ini. 15 kerusi itu kami mahu semula. Jadi tinggal berapa (kerusi Parlimen Bersatu)? Enam (kerusi asal) campur 10 (kerusi bekas ahli Parlimen PKR yang keluar parti).

Sepuluh kerusi itu boleh menang lagi ke? Sepuluh kerusi itu menang kerana sokongan masyarakat Cina ketika mereka berada dalam PH. Jadi Bersatu tinggal berapa? Enam agaknya? UMNO 55, tentu Pas tahu angka-angka ini.

BN dahulu memenangi 79 kerusi Parlimen ketika zaman amat sukar (PRU14) dengan GPS bertindak keluar pakatan dan sebagainya. Itu yang sekarang BN memiliki 43 kerusi Parlimen, tetapi asalnya UMNO memiliki 55 kerusi. 15 (bekas ahli Parlimen BN) melompat ke Bersatu, seorang ke Warisan tetapi itu semua kerusi kami.

Jadi tentunya Pas bijak membaca angka-angka ini. Ramai orang bijak pandai dalam Pas, sudah tentu mereka membuat perkiraan politik yang tajam dalam membuat keputusan.

Pada 14 September 2019, kita telah memeterai piagam sebelum mereka bersama PN. Oleh itu, tentunya mereka tidak akan melupakan kawan lama bila dapat kawan baru.

Bercakap tentang kerjasama bersama Pas, baru-baru ini kenyataan UMNO Terengganu menyebut tiada satu kerusi yang akan diberi kepada Pas apatah lagi Bersatu pada PRU15. Apa pandangan Datuk?

Ada negeri-negeri yang kajian politiknya berbeza kerana tiada DAP, tiada kerusi Bersatu serta tiada kerusi PKR. Jadi apa-apa berlaku masih lagi (berkisarkan) sama ada Pas atau UMNO di Terengganu ini.

Walau bagaimanapun kami amat berharap ada muafakat yang baik. Sebagai contoh, lapan kerusi Parlimen di negeri itu, permohonan kita adalah empat kerusi ditandingi UMNO, empat lagi milik Pas.

Kalau dapat persetujuan itu, ia akan mendamaikan segala pandangan. Sekarang ini enam (kerusi) Pas, dua (kerusi) kami. Satu (kerusi Bersatu) melompat dan dakwa itu kerusi dia. Mana boleh macam itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!