Polis Ampang Jaya pertingkat operasi tangani pemandu mabuk

Laporan Sinar Harian mengenai seorang wanita warga China yang memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga mengakibatkan kemalangan babit lima buah kenderaan di Taman Muda, Ampang pada Selasa.
Laporan Sinar Harian mengenai seorang wanita warga China yang memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga mengakibatkan kemalangan babit lima buah kenderaan di Taman Muda, Ampang pada Selasa.
A
A
A

AMPANG - Polis Daerah Ampang Jaya akan mempertingkatkan operasi susulan beberapa kejadian kemalangan membabitkan pemandu mabuk di kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya akan mengadakan sekatan jalan raya di lokasi strategik dalam usaha membanteras pengambilan alkohol melebihi had yang ditetapkan dalam kalangan pemandu.

"Kita memandang serius isu pemandu mabuk yang membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Mohamad Farouk berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang masih ingkar serta memandu dalam keadaan mabuk.

"Orang awam juga perlu memainkan peranan penting dengan bersikap lebih bertanggungjawab dan tidak memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol," katanya.

Pada Selasa, seorang wanita warga China ditahan selepas didapati memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga mengakibatkan kemalangan membabitkan lima buah kenderaan di Taman Muda di sini.

Pada Isnin, seorang lelaki disyaki memandu kereta di bawah pengaruh alkohol menjadi punca nahas lima kenderaan di Jalan Mewah 2/3 Pandan Mewah di sini.

Pada Ahad, petugas perubatan dan anggota polis yang sedang memberikan bantuan kepada mangsa kemalangan cedera dilanggar pemandu mabuk dalam kemalangan di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di sini.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu wanita mabuk akibatkan kemalangan lima kenderaan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!