Penerima tawaran haji tahun lalu dinasihat daftar suntikan vaksin
KUALA LUMPUR - Semua bakal jemaah haji yang telah menerima surat tawaran bagi ibadah haji tahun lalu dinasihatkan segera membuat pendaftaran bagi menerima suntikan vaksin Covid-19 termasuk mendapatkan suntikan wajib meningococcal.
Pengarah Eksekutif Haji, Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, ia sebagai persediaan awal bagi musim haji tahun ini meskipun belum ada kepastian daripada kerajaan Arab Saudi berkenaan jumlah jemaah haji negara yang dibenarkan melakukan ibadah itu.
"Seperti sedia maklum pengambilan vaksin Covid-19 adalah salah satu syarat wajib untuk semua bakal haji yang ingin menunaikan haji musim ini.
"Justeru bakal jemaah yang telah mendapat surat tawaran tahun lalu dinasihatkan segera mendaftar sebagai penerima vaksin bagi membolehkan mereka dipanggil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) nanti.
"Anggota TH di pejabat cawangan seluruh negara bersedia membantu urusan pendaftaran haji khususnya bagi yang berusia dan tidak mempunyai akses internet," katanya pada sidang media di Menara TH pada Jumaat.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba memaklumkan, bakal jemaah Haji 2021 akan mula diberi suntikan vaksin Covid-19 pertengahan bulan Mei ini.
Perkara terbabit sudah dibincangkan dalam Kabinet.
Pendaftaran vaksin Covid-19 boleh dilakukan menerusi aplikasi MySejahtera dan laman sesawang www.vaksincovid.gov.my atau talian 1800-888-282.
Dalam pada itu, Syed Saleh berkata, bakal jemaah haji negara juga dinasihatkan bersedia menerima sebarang perubahan terkini dan kemungkinan adanya peraturan-peraturan baharu diperkenalkan TH dan Arab Saudi kesan pandemik Covid-19.
Katanya, pada masa sama, TH melakukan persiapan operasi musim haji sama ada di tanah air mahupun di Tanah Suci dan Madinah.
"TH sendiri membuat persiapan di tanah air termasuk di stesen-stesen berlepas seluruh negara. Persiapan turut dibuat daripada segi penginapan, pengangkutan, penerbangan, sajian makan, hukum hakam ibadah dan sebagainya.
"Sebanyak 13 siri kursus asas haji juga dilaksanakan dalam talian sejak awal tahun ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!