PAU bukan medan gugat perpaduan: Mohamed Khaled
SHAH ALAM - Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 mesti menjadi medan perwakilan membahaskan jalan ke hadapan untuk UMNO kembali memerintah bukan ruang untuk menggugat perpaduan parti atau mencerca sesiapa.
Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, teguran, kritikan dan apa jua saranan, haruslah dalam semangat membangunkan keunggulan UMNO bukan melebarkan lagi kepuak-puakkan dan melemahkan kesatuan.
Oleh itu katanya, sangat penting kepada semua perwakilan menyedari bahawa usul, pembicaraan serta kupasan idea mereka, akan menjadi intipati penting dalam menyelesaikan segala kekusutan dalam masyarakat dan negara.
“Maka bahaslah dengan rasional dan matang. Kemukakan kecerdasan baru dan suarakan segala permasalahan rakyat dengan sebaiknya,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Jumaat.
Mohamed Khaled yang juga merupakan bekas Menteri Besar Johor berkata, setelah menjadi sebahagian daripada kerajaan, UMNO mesti menggunakan peluang tersebut untuk membahaskan pelbagai isu yang mendepani rakyat.
Selain itu katanya, parti juga perlu mengetengahkan dasar yang pincang dan memperincikan dasar lebih baik yang mesti diutamakan.
“Ini kerana UMNO wajar memainkan peranannya sebagai ‘the Malay braintrust’. Ia mesti tampil dan mengemukakan solusi nasional terhadap pelbagai kemaslahatan Malaysia.
“UMNO wajar membicarakan pelbagai isu berkepentingan nasional kerana ia adalah peranan hakiki UMNO dalam politik bangsa. Iaitu mengemukakan idea termaju untuk memperbaiki kedudukan bangsa dan negara,” katanya
Dalam pada itu, Mohamed Khaled menggesa, UMNO mesti berada dalam kedudukan ‘utuh’ untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan memerintah semula.
“Kerencaman berparti tidak boleh mengatasi ‘UMNO’s higher purpose’ iaitu menjadi pengemudi kepada kemajuan Malaysia.
“Apa jua yang diputuskan oleh perwakilan nanti, mestilah dihormati. Tiada individu, suara dan pengaruh lebih besar dan gah dari muafakat dan konsensus akar umbi UMNO. Disiplin dan tata kelola parti mesti diamalkan dan tersemat di hati," katanya.
Beliau menambah, usia UMNO tahun ini ialah 75 tahun iaitu lebih tua dari Malaysia sebagai sebuah negara maka dengan itu, UMNO mesti dewasa sesuai usianya.
"Pembawaannya mesti dewasa, pendiriannya mesti berhikmah dan kewibawaannya mesti sematang usianya InsyaALLAH,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!