'Awan hitam luar biasa'
KUANTAN - Awan hitam yang mulanya disangka hanya membawa hujan lebat rupanya petanda ribut melanda Kampung Balok, Taman Balok Baru dan kawasan sekitarnya di sini, pada petang Khamis.
Ribut yang melanda sekitar jam 4.40 petang itu merosakkan 70 rumah termasuk rumah kedai dan menjejaskan kira-kira 150 penduduk.
Detik cemas itu dilalui seorang peniaga kedai makan, Wan Munah Ya Salleh, 48, yang ketika itu berada di kedainya bersama suami dan pekerjanya.
Katanya, suasana ketika itu agak gelap walaupun waktu baru menunjukkan jam 4.40 petang.
"Ketika itu saya dan pekerja sedang berkemas, tiba-tiba ribut melanda dan terus menerbangkan atap bahagian depan kedai manakala meja makan yang tersusun rapi berselerak dibawa angin.
"Kami lari berlindung ke belakang namun atap bahagian itu pula tercabut. Ketika itu saya cukup panik dan tanpa sedar menjerit, "ALLAH tolong aku...ALLAH tolong aku" beberapa kali dengan harapan ribut reda dengan segera," katanya ketika ditemui di kedainya di sini pada Jumaat.
Wan Munah pasrah dengan kejadian yang menimpa walaupun kedainya tidak dapat beroperasi sementara waktu ekoran kerosakan struktur bumbung dialami.
"Saya terima dugaan ini dan tetap bersyukur kerana kami selamat tanpa sebarang kecederaan," katanya yang sudah berniaga di kedai itu sejak 12 tahun lalu.
Situasi cemas itu turut dilalui Anuar Mohamed,60, apabila keseluruhan bahagian atap rumahnya tercabut dan diterbangkan angin sejauh kira-kira 100 meter sebelum menghempap rumah jiran.
Dia yang tinggal berdua bersama isterinya di rumah itu berkata, ketika kejadian dia sedang berehat sambil menunggu masuk waktu solat Asar.
"Saya dengar jiran menjerit dan serentak itu, ruang dalam rumah tiba-tiba menjadi 'cerah'.
"Kejadian berlaku amat cepat dan bila saya pandang ke bumbung, atapnya sudah tiada," katanya.
Tambahnya kejadian ribut itu berlaku dalam tempoh kurang 10 minit namun kesan kemusnahan rumahnya cukup besar.
"Buat sementara waktu, saya terpaksa menumpang di rumah salah seorang anak yang tinggal berhampiran sebelum rumah ini siap dibaiki," katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran (JKKK) Kampung Chengal Lempung, Syeikh Zahari Syeikh Sulaiman berkata, kejadian ribut yang melanda Kampung Balok dan kawasan sekitarnya adalah yang paling buruk berbanding beberapa kejadian ribut melanda kawasan Beserah sejak Selasa lalu.
"Sebelum kejadian, keadaan awam hitam agak luar biasa dan ia disedari penduduk yang kebanyakan berada di rumah petang itu.
"Kejadian ini memang di luar jangkaan dan paling teruk setakat ini," katanya.
Syeikh Zahari berkata, kejadian ribut itu kali kedua berlaku di kawasan itu dalam tempoh lapan tahun.
"Berbeza dengan kejadian pertama walaupun lebih kuat namun bilangan rumah yang rosak tidak banyak berbanding kali ini.
"Dulu kawasan ini tidak ramai penduduk tapi sekarang semakin padat dan banyak rumah-rumah kedai didirikan," katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu berkata, berdasarkan maklumat diterima, sebanyak 70 rumah termasuk rumah kedai terjejas dengan anggaran kerosakan antara 20 hingga 80 peratus.
Beliau berkata, tiga rumah rosak teruk akibat dihempap pokok tumbang manakala selebihnya rata-rata mengalami kerosakan pada bahagian bumbung.
"Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) segera membantu dengan menghulurkan bantuan segera kepada penduduk terjejas.
"Pihak Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) bersama beberapa agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Amal dan Rela turun padang melaksanakan misi pembersihan kawasan terjejas," katanya.
Andansura berkata, anggaran jumlah kerugian masih dalam penilaian pihak berkenaan.
"Setakat ini, tiada pusat pemindahan dibuka memandangkan kebanyakan mangsa memilih untuk menumpang di rumah saudara mara namun jika ada keperluan kepada penempatan sementara ini, kita sedia mempertimbangkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!