KDNK Malaysia dijangka berkembang sederhana
KUALA LUMPUR - Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia diunjurkan berkembang pada enam peratus tahun ini, kadar yang lebih sederhana berbanding jangkaan sebelum ini pada 6.7 peratus, menurut Kumpulan Bank Dunia.
Ia menjelaskan pertumbuhan itu dijangka disokong oleh pengukuhan permintaan domestik secara beransur-ansur susulan pelaksanaan program vaksinasi mulai Mac 2021 serta permintaan luaran yang lebih baik namun berhati-hati.
“Kekuatan dan tempoh pemulihan ekonomi Malaysia bagaimanapun akan banyak bergantung kepada ketersediaan program vaksin secara besar-besaran yang tepat pada masanya.
“Program vaksinasi dijangka meliputi sekurang-kurangnya 30 peratus daripada jumlah penduduk pada Ogos 2021,” menurutnya dalam laporan ‘Economic Update for East Asia and the Pacific - Uneven Recovery’ yang dikeluarkan pada Jumaat.
Selain itu, ia juga mengunjurkan bagi jangka sederhana, keluaran ekonomi ini dijangka tidak pulih kepada tahap sebelum pandemik.
“Unjuran pertumbuhan tertakluk kepada risiko negatif yang ketara. Di peringkat luaran, penangguhan pelaksanaan program vaksin boleh menyebabkan sekatan pergerakan yang dikuatkuasakan ketika ini terpaksa dilaksanakan semula di negara maju dan menjejaskan lagi pertumbuhan global.
“Risiko positif termasuk kejayaan pembendungan gelombang ketiga (jangkitan) dan pelaksanaan program vaksinasi yang berkesan, yang boleh mendorong pemulihan permintaan domestik yang lebih cepat berbanding jangkaan serta keyakinan pelabur yang lebih tinggi,” menurutnya.
Kumpulan Bank Dunia turut menjelaskan jumlah rakyat Malaysia yang hidup di bawah garis kemiskinan nasional dijangka berkurangan secara berperingkat dan kekal pada paras sebelum pandemik sehingga 2022.
“Unjuran ini berdasarkan pada andaian bahawa pemulihan pekerjaan dan pendapatan isi rumah yang dijangkakan tidak sekata, dengan pekerjaan dalam pelancongan dan perkhidmatan mungkin antara yang paling lambat untuk mencatatkan keadaan lebih baik.
“Jangkaan ini juga bergantung kepada pemulihan ketara pekerjaan serta langkah bantuan kerajaan yang berterusan untuk melindungi isi rumah yang miskin dan rentan sementara mencatatkan pemulihan ekonomi sepenuhnya,” jelasnya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!