PAU medan terbaik Presiden UMNO jelaskan isu kerjasama UMNO-PKR: Annuar

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang bermula esok, adalah medan terbaik untuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan mengenai desas-desus kerjasama antara UMNO dan PKR.

Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, ia bagi menjelaskan pelbagai khabar angin dan kenyataan yang dibuat pelbagai pihak mengenai perkembangan terbaharu kedua-dua parti itu dalam persediaan menghadapi PiIihan Raya Umum Ke-15 kelak.

"Saya fikir Presiden UMNO mungkin mempunyai peluang yang terbaik sewaktu PAU diadakan kerana akan ada Ucapan Dasar Presiden. Saya faham sememangnya ada kesamaran, tanda tanya, ada berita yang bercanggah.

"Ada yang kata Presiden (UMNO) ada berbincang dengan PKR. Ada yang kata ada surat dan tandatangan berpakat menyokong Anwar Ibrahim.

"Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sendiri kata ada jumpa tapi tiada pakatan. Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pula kata perjumpaan biasa-biasa sahaja," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci kepada pemilik Residensi Razakmas2 di sini pada Jumaat.

Perhimpunan Agung UMNO 2020 secara hibrid akan diadakan selama dua hari bermula esok selepas setahun ditangguhkan susulan pandemik Covid-19.

Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan hadir pada majlis penyerahan kunci kepada penduduk tersebut yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kebelakangan ini desas-desus mengatakan UMNO berkemungkinan menjalin kerjasama dengan PKR semakin kuat dengan Anwar dilaporkan mendedahkan telah wujud perbincangan tidak rasmi antara kedua-dua parti itu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mengulas mengenai pendaftaran pemilih automatik dan mengundi pada usia 18 tahun (Undi 18) yang hanya boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022, Annuar berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu diberi ruang untuk menyelesaikan pelbagai isu teknikal sebelum ia dapat dillaksanakan.

"...untuk menyiapkan daftar pemilih bukan satu perkara yang mudah. Saya difahamkan apabila kita menjadikan umur kelayakan itu automatik, timbul persoalan di mana dia akan mengundi sama ada nak ikut alamat kad pengenalan ataupun dia mempunyai pilihan untuk mengundi di mana?.

"Kemudian, ada atau tidak bantahan macam ada sekarang kalau orang itu memohon di satu tempat, namanya mesti dipamerkan dan orang boleh bantah sebab mungkin berlaku manipulasi sengaja pergi daftar di tempat yang bukan layak dia mengundi di situ. Jadi, saya difahamkan SPR memerlukan masa," katanya.

Bagaimanapun katanya, SPR perlu menyegerakan proses tersebut dan ia diharap dapat dilaksanakan pada PRU ke-15 nanti. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!