Ernie Zakri, Syamel selamat disatukan
DENGAN hanya sekali lafaz, pasangan penyanyi popular, Syamel, 28, dan Ernie Zakri, 29, selamat disatukan sebagai pasangan suami isteri, hari ini.
Pada majlis ijab kabul yang berlangsung di Masjid Puncak Alam, Selangor itu, Syamel atau nama sebenarnya Syameel Aqmal Mohd Fodzly, menyerahkan mas kahwin RM300 dan seutas gelang tangan berlian berserta lima dulang hantaran berbalas tujuh daripada pihak perempuan.
Bagaimanapun, jumlah wang hantaran tidak didedahkan.
Majlis pernikahan pasangan ini diadakan secara tertutup dan hanya dihadiri 20 ahli keluarga terdekat bagi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Ernie atau nama lengkapnya Nur Ernie Shahirah Zakri meluahkan rasa syukur apabila majlis yang dirancang berjalan lancar dan memohon orang ramai mendoakan agar fasa baharu dalam kehidupannya itu dipermudahkan.
Menerusi laman Instagram milikinya, Ernie juga berkongsi sepotong doa sebaik sahaja sah bergelar isteri.
“Semoga Allah memberi barakah kepadamu dan keberkatan atas pernikahan kamu, dan mengumpulkan kalian berdua dalam kebaikan. Amin Ya Rabbal Alamin,” tulisnya.
Terdahulu pasangan ini mengikat tali pertunangan pada 15 Ogos lalu selepas mula rapat ketika menyertai program realiti, Duo Star, pada 2017.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!