KKM rampas produk ada steroid terlarang bernilai lebih RM1.2 juta

Antara produk yang dirampas dalam serbuan Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM, Selasa lalu. - Foto KKM
Antara produk yang dirampas dalam serbuan Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM, Selasa lalu. - Foto KKM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kira-kira 300 produk mengandungi steroid anabolik, produk psikotropik, bahan terlarang lain serta produk tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah bernilai RM1.2 juta, dirampas dalam satu operasi Bahagian Penguatkuasaan Farmasi.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan, Dr Faridah Aryani Md Yusof berkata, dalam operasi pada Selasa lalu melibatkan cawangan Penguatkuasaan Farmasi Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya itu, sebanyak 10 premis diserbu.

“Tindakan ini diambil rentetan beberapa aduan awam mengenai penjualan produk steroid anabolik di platform e-dagang. Turut dirampas beberapa peranti digital seperti komputer peribadi, komputer riba dan telefon bimbit yang digunakan sebagai medium memasarkan produk,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Dr Faridah Aryani berkata, penjualan produk-produk kesihatan yang tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

"Steroid yang dikategorikan sebagai racun terkawal dan kerap disalah guna untuk membina otot badan itu hanya boleh diambil atas nasihat doktor serta ahli farmasi.

"Selain boleh merosakkan buah pinggang, penggunaaan steroid tanpa pengawasan, boleh menyebabkan penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi dan ketidakseimbangan hormon di dalam badan," jelasnya.

Beliau menasihati pengguna supaya memastikan produk kesihatan yang ingin dibeli, mempunyai pelekat keselamatan hologram dan Nombor Pendaftaran Produk (MAL).

Katanya, sebarang penjualan produk tidak berdaftar boleh dilaporkan orang ramai melalui laman sesawang www.pharmacy.gov.my, atau melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) http://moh.spab.gov.my atau mana mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi berhampiran atau hubungi talian 03-78413200. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!