G25 gesa kerajaan tubuh IPCMC tangani isu kartel PDRM

Tindakan akan diambil kepada individu dan pihak yang terlibat dengan kartel PDRM.
Tindakan akan diambil kepada individu dan pihak yang terlibat dengan kartel PDRM.
A
A
A

G25 menzahirkan kebimbangan berhubung laporan media susulan kenyataan yang dibuat oleh Ketua Polis Negara (KPN) tentang kewujudan sebuah ‘kartel’ dalam pasukan polis yang didalangi oleh pegawai-pegawai polis muda yang cuba menjatuhkan beliau dan mendominasi pasukan polis.

Beliau turut berkata bahawa ‘budaya mengambil wang untuk dibawa ke atas wujud bukan sahaja dalam kalangan pegawai bawahan bahkan juga di peringkat atasan’. Walaupun perincian berkenaan hal tersebut tidak diberikan, rujukan kepada kartel tersebut memberikan tanggapan kepada orang ramai bahawa KPN berasa khuatir tentang integriti dan reputasi kuasa polis.

Kami mengambil maklum bahawa mantan KPN, Tun Hanif Omar turut menyuarakan kebimbangan yang sama melalui satu paparan video dalam media sosial.

Pendedahan sebegini melibatkan soal kepentingan awam kerana polis merupakan institusi undang-undang dan ketenteraman yang penting, maka apa-apa syak wasangka berkenaan campur tangan luar dalam pengurusan pasukan polis perlu disiasat dengan teliti.

Orang ramai mesti diberi jaminan bahawa peringkat atasan penguatkuasaan polis bebas daripada pengaruh kumpulan atau individu luar yang menggunakan hubungan mereka dengan polis untuk melindungi operasi perniagaan haram mereka atau untuk mengelolakan kepentingan kumpulan-kumpulan politik dan ideologi-ideologi agama yang tertentu.

G25 menyeru agar satu jawatankuasa parlimen bersidang bagi tujuan menyiasat dakwaan yang serius itu tentang pasukan polis. Malaysia harus meneladani amalan di negara-negara demokrasi yang lain dengan memulakan satu penyiasatan parlimen bagi tujuan menentukan kebenaran dan menetapkan garis panduan demi mengekalkan kepercayaan dan keyakinan terhadap sistem tadbir urus dalam negara.

Organisasi masyarakat sivil termasuk G25 pada satu masa dahulu pernah mendesak pembentukan segera Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) bagi tujuan menyediakan semak dan imbang dalam penggunaan kuasa polis. Ini memandangkan terdapat banyak aduan yang diterima berkaitan salah laku polis semasa penahanan dan penangkapan, termasuk kematian di dalam lokap polis yang tidak dapat dijelaskan.

Kami menggesa agar IPCMC diberikan kuasa penyiasatan untuk mengambil tindakan apabila aduan sebegini serta aduan-aduan serius yang lain diterima dari orang ramai. Berhubung dengan perkara ini, G25 turut menyeru supaya kerajaan mempertimbangkan semula kewajaran langkah menggantikan IPCMC dengan Suruhanjaya Bebas Tingkah Laku Polis (IPCC) yang sebenarnya akan menjadi suatu versi IPCMC yang lebih longgar dan kurang berkesan.

Artikel Berkaitan:

Polis di negara-negara lain memperoleh rasa hormat dan kepercayaan daripada orang ramai dengan sikap keterbukaan dan sifat bertanggungjawab kepada badan perundangan dan juga pihak media. Seluruh dunia menyaksikan di televisyen betapa isu keganasan polis di Amerika dan United Kingdom terhadap orang kulit hitam telah mencetuskan demonstrasi awam secara besar-besaran di seluruh dunia yang menyokong reformasi pasukan polis.

Kami di G25 percaya bahawa Malaysia harus bergerak seiring dengan masa dengan memperkukuhkan tadbir urus dalam pelaksanaan undang-undang dan ketenteraman. Ini dapat dilakukan dengan memperkasa parlimen agar mempunyai kuasa untuk mengawasi pasukan polis serta menubuhkan IPCMC yang berwibawa (dan menarik semula pembentukan IPCC!) tanpa berlengah lagi untuk menangani aduan yang diterima daripada orang ramai berkenaan salah laku polis.

Kami percaya bahawa kedua-dua langkah reformasi ini adalah penting agar masyarakat dapat terus mempercayai dan menghormati pasukan polis yang berperanan melindungi keamanan dan keselamatan rakyat dan negara.

Pada masa yang sama, kami juga menggesa pihak kerajaan agar memperkasa institusi polis dengan sumber yang mencukupi bagi membolehkan pegawai-pegawai polis dan pasukan mereka menjalankan tugas dengan cekap serta mencapai tahap profesionalisme, kebertanggungjawaban dan ketelusan yang tinggi sejajar dengan harapan yang diletakkan oleh orang ramai.

ARTIKEL BERKAITAN [EKSKLUSIF] 'Kartel dalam PDRM cuba jatuhkan saya'