Pesara kesihatan maut nahas tiga kenderaan
DUNGUN- Seorang pesara kesihatan maut dan dua cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di simpang tiga Jalan Pantai Teluk Lipat, di sini pagi Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.43 pagi itu, Mohd Azmi Yusoff, 60 yang memandu kereta jenis Proton Wira meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, kemalangan itu membabitkan tiga kenderaan iaitu kereta jenis Perodua Kelisa, pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan kereta Proton Wira dipandu mangsa.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa yang berhenti di simpang tiga Jalan Pantai Teluk Lipat, di sini dipercayai tidak memberi isyarat lampu kanan dan dilanggar dari arah belakang oleh pacuan empat roda dipandu lelaki berusia 52 tahun.
"Akibat pelanggaran kuat itu, kereta dipandu mangsa masuk ke lorong bertentangan lalu dilanggar di sebelah kiri oleh kereta jenis Perodua Kelisa dinaiki pasangan suami isteri yang datang dari jalan utama.
"Berikutan pelanggaran sebanyak dua kali itu, mangsa yang mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Baharudin berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Dungun untuk bedah siasat dan tiga lagi mangsa terlibat yang dua daripadanya mengalami kecederaan turut dihantar ke Hospital Dungun bagi mendapatkan rawatan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," kata Baharudin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!