MOT lanjut pengecualian perbaharui LM, LKM bermula 1 April
SHAH ALAM - Kementerian Pengangkutan (MOT) melanjutkan pengecualian bagi tujuan memperbaharui lesen memandu (LM) dan lesen kenderaan motor (LKM) persendirian berkuat kuasa 1 April ini sehingga 31 Mei nanti.
Menterinya, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong berkata, keputusan itu diambil ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih dilaksanakan.
Namun katanya, para pemandu hendaklah memastikan kenderaan mereka memiliki perlindungan insurans yang sah dan menunjukkan salinan sijil perlindungan (e-cover note insurance) mereka kepada anggota penguat kuasa trafik sekiranya diminta.
"Perincian berhubung pengecualian ini adalah bagi individu yang LM dan LKM mereka tamat tempoh antara 1 Februari sehingga 31 Mac 2021 perlu memperbaharui LM dan LKM masing-masing dalam tempoh 60 hari bermula 1 April sehingga 31 Mei 2021.
"Bagi individu yang LM dan LKM mereka tamat tempoh pada mana-mana tarikh antara 1 April sehingga 31 Mei 2021 pula hendaklah memperbaharui LM dan LKM masing-masing dalam tempoh 60 hari bermula 1 Jun sehingga 31 Julai 2021," katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Jumaat.
Tambah beliau, jika LM atau LKM yang tamat tempoh bagi pengecualian pertama (1 Februari hingga 31 Mac 2021) hendaklah memperbaharui LM dan LKM masing-masing dalam tempoh 60 hari seperti yang dinyatakan iaitu bermula 1 April sehingga 31 Mei 2021.
Katanya, jika gagal melakukannya, ia akan menjadi satu kesalahan dan tindakan yang berkaitan boleh dikenakan.
"Sebagaimana objektif pengecualian ini diperkenalkan pada peringkat awal pada Mac 2020, ia bertujuan mengelakkan kesesakan di tempat awam serta memastikan usaha kerajaan memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 dapat berjalan dengan baik.
"Oleh itu, tempoh sehingga 60 hari diberikan agar orang ramai mempunyai lebih banyak masa, ruang serta kelonggaran yang diperlukan," katanya.
Ka Siong berkata, bagaimanapun pengecualian ini tidak diberikan kepada pemilik Kenderaan Perdagangan dan pemegang Lesen Vokasional (GDL dan PSV) kerana perkhidmatan pembaharuan yang berkaitan mereka dibenarkan di bawah Jadual Perkhidmatan Perlu (Essential Services) merujuk kepada Jadual Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan) 2021.
Menurutnya, pembaharuan untuk perkhidmatan ini boleh dilakukan di semua kaunter / pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad), Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah dan LPKP Sarawak sepanjang tempoh PKP.
"Semua pusat pemeriksaan kenderaan berkomputer (Puspakom) juga beroperasi bagi tujuan menyediakan perkhidmatan berkaitan pembaharuan ini dan orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa menjadi pemandu berhemah dan mematuhi segala SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan MKN (Majlis Keselamatan Negara) sepanjang tempoh pelaksanaan PKP.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!