Lelaki edar dadah untuk bayar hutang ah long ditahan

Aidi Ismail (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas setelah berjaya menahan seorang lelaki berasal dari Sabah di daerah Kuching 24 Mac lalu pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Samarahan pada Jumaat. - Foto Bernama
Aidi Ismail (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas setelah berjaya menahan seorang lelaki berasal dari Sabah di daerah Kuching 24 Mac lalu pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Samarahan pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA SAMARAHAN - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak berjaya merampas kira-kira 23.879 kilogram (kg) dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM955,500 dan menahan seorang lelaki yang mendakwa terpaksa mengedarnya untuk membayar hutang ah long atau ceti haram.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, suspek berumur 31 tahun itu ditahan sepasukan polis JSJN Sarawak kira-kira jam 9 pagi Rabu lalu, berhampiran sebuah hospital swasta di Jalan Stutong di sini, selepas didapati menyembunyikan satu bungkusan plastik di dalam semak berdekatan.

“Bungkusan tersebut didapati mengandungi satu bungkusan plastik lut sinar mengandungi 18 paket plastik pelbagai saiz, dengan setiap satu paket mengandungi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah syabu dengan berat kasar keseluruhan 145 gram (g),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini pada Jumaat

Aidi berkata, serangkai anak kunci serta kad akses rumah turut dijumpai di dalam poket seluar suspek berkenaan, dan beliau kemudiannya membawa pasukan polis itu ke kediamannya yang merupakan sebuah apartmen di Jalan Batu Kawa di Kuching, di mana premis berkenaan dimasuki menggunakan kunci dan kad akses yang dirampas.

“Hasil pemeriksaan bilik pertama rumah tersebut, pasukan serbuan telah menjumpai satu beg berwarna merah berisi 21 bungkusan berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah syabu dengan berat kasar ialah 21,884g,” katanya.

Aidi berkata, pasukan serbuan itu turut menemukan satu kotak polisterin mengandungi 141 plastik lutsinar pelbagai saiz, berisi ketulan kristal disyaki syabu seberat kira-kira 1.85 kg dan suspek itu ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya, 1952 kerana mengedar dadah.

“Suspek juga disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) akta yang sama, selepas hasil ujian awal mendapati dia positif mengambil dadah jenis ketamin dan kini direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 1 April,” katanya.

Beliau berkata, suspek yang merupakan seorang penganggur dari Sabah dan tiada rekod kesalahan lampau telah memasuki Sarawak pada 9 November lalu dan dikuarantin 14 hari di sebuah hotel di bandar raya Kuching.

Artikel Berkaitan:

Semasa berada di Kuching, suspek mendakwa telah dihubungi seorang lelaki yang tidak dikenalinya yang menawarkannya untuk mengedar dadah di sekitar bandar raya itu, dan kerana hendak membayar hutang Ah Long berjumlah RM10,000, dia bersetuju untuk mengedarnya sejak Disember lalu.

Aidi berkata, modus operandi suspek adalah dengan meletakkan bungkusan dadah di satu lokasi dan mengambil gambar lokasi tersebut, dan dihantarnya melalui aplikasi sosial kepada lelaki yang tidak dikenali itu yang seterusnya akan memaklumkan kepada pelanggan, di mana lokasi berkenaan.

Katanya, pihaknya sudah mengenal pasti lelaki tidak dikenali itu dan maklumat berkaitan individu itu telah dihantar kepada Bahagian Risikan Antarabangsa JSJN Bukit Aman dan juga JSJN Kontinjen Sabah untuk mengesannya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!