Guna PAU 2020 untuk betulkan perselisihan

PAU 2020 dijangka akan menentukan hala tuju UMNO pada PRU15.
PAU 2020 dijangka akan menentukan hala tuju UMNO pada PRU15.
A
A
A

MENJELANG Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) yang bakal berlangsung pada esok hingga Ahad ini menjadi debaran ahli-ahli UMNO mengenai apakah hala tuju dan keputusan yang bakal dibuat oleh para perwakilan.

Bahang PAU 2020 juga turut dirasakan parti-parti lain kerana apa jua keputusan yang diambil UMNO akan menjadi penentu demografik politik negara mendatang.

Ada penganalisa politik yang berpendapat bahawa landskap politik negara akan turut berubah sekiranya suatu keputusan besar yang melibatkan halatuju UMNO diputuskan perwakilan di dalam PAU 2020 yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia nanti.

Saya menyeru kepada semua perwakilan agar menjadikan PAU 2020 sebagai wadah perpaduan di kalangan ahli parti dan masyarakat Malaysia, kerana kita semua menginginkan negara kita terus membangun pasca pandemik Covid-19, suatu ujian yang amat berat yang menimpa segenap lapisan masyarakat di negara ini.

Di kala rakyat sedang bergelut dengan kesempitan hidup, wajar kiranya kita menyantuni keluh kesah rakyat, kebimbangan rakyat, perit getir rakyat dan kesengsaraan rakyat untuk kelangsungan hidup selepas sebilangan besar mereka diduga dan yang lebih membimbangkan, malapetaka ekonomi pula menimpa negara.

Oleh itu, saya juga turut menyeru agar dapat diperbetulkan segala perselisihan yang kini menjadi barah di dalam parti, berikan kepercayaan sepenuhnya kepada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mengemudi parti mengikut hemat beliau setelah mendengar suara ahli-ahli parti.

Presiden telah dipilih secara demokrasi dan diberikan kepercayaan untuk menjadi nakhoda parti, sekiranya ada mana-mana pemimpin berhasrat untuk menjadi nakhoda baharu, sama-sama yakinkan ahli parti pada pemilihan UMNO akan datang dengan menawarkan diri secara jelas dan disertakan dengan manifesto serta janji-janji untuk membantu parti kerana UMNO sentiasa berpegang teguh dengan prinsip kesetiaan terhadap pemimpin.

Sekiranya suatu hari nanti, kita berada di atas, pastinya kita juga tidak akan disenangi oleh sesetengah individu.

Artikel Berkaitan:

Adakah kita juga mengharapkan ada gerakan-gerakan dalaman, perselisihan yang akan memecahbelahkan parti lalu menjatuhkan kita sebagai pemimpin?

Segala perselisihan ini boleh dijernihkan dengan pendekatan normatif, dimana pemimpin harus mengubah sikap dan tingkah laku amalan politik.

Wajib menjauhi politik yang hanya mencari keuntungan diri, politik wang, ucapan berbaur perkauman yang boleh memecah belah perpaduan lantas mengakibatkan perselisihan faham malah melahirkan ketegangan antara kaum.

DATUK NORLIZA ABDUL RAHIM
DATUK NORLIZA ABDUL RAHIM

Kestabilan politik adalah kunci bagi memastikan negara kita terus maju, Malaysia perlu terus bersaing dengan negara-negara serantau dalam era ledakan ekonomi dan globalisasi. Pemikiran dan tingkah laku juga harus seiring dengan ucapan yang diungkapkan.

Dengan itu, UMNO harus kekal relevan kepada semua lapisan masyarakat kerana sebagai sebuah Grand Dominant Party, kita seharusnya menawarkan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat. Rakyat berhak memilih perkhidmatan mana yang akan memberi manfaat kepada mereka dan keluarga.

Oleh yang sedemikian, sewajarnya UMNO membuat persediaan dan perancangan jangkamasa panjang dan sederhana bagi mempromosi perkhidmatan yang bakal dihidangkan kepada rakyat sekiranya pilihanraya umum tiba kelak.

Tindakan yang tuntas wajar diambil bagi meleraikan pertelingkahan di antara Malay-based party yang berlaku, ini amat penting bagi kestabilan politik negara dan ianya bakal memanfaatkan rakyat dan negara.

Pertelingkahan yang berlaku akan merugikan negara, sistem perlembagaan dinodai apabila kuasa menjadi keutamaan. Ketepikan ego masing-masing, terapkan keikhlasan dalam mencari titik persamaan di dalam perbezaan supaya rakyat dan negara dapat menikmati keamanan dan kemakmuran.

Adalah menjadi kewajiban bagi kita untuk mengenepikan nafsu serakah politik mana-mana pihak dan menjunjung tinggi Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi dalam negara. Sekiranya kita sendiri tidak mengamalkan prinsip rule of law, bagaimanakah warga asing mampu menghormati Malaysia sebagai sebuah negara yang aman dan makmur.

Sekiranya tiada usaha ikhlas ke arah menjernihkan kekeruhan di dalam kesepakatan, UMNO harus memikirkan apakah langkah yang terbaik dan PAU 2020 adalah platform yang sewajarnya untuk ahli-ahli parti membuat keputusan.

Saya berpendapat, UMNO hanya mahukan kestabilan untuk rakyat, kesejahteraan buat masyarakat dan mewariskan sebuah negara yang utuh dari segi ekonomi dan pembangunan kepada generasi akan datang.

*** Datuk Norliza Abdul Rahim

Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!