Undi 18: Kelulusan parlimen hanya sebagai nota kaki

Parlimen Malaysia.
Parlimen Malaysia.
A
A
A
SEBILANGAN besar daripada kami yang memulakan aktivisme politik pada tahun 1998 berusia lewat remaja; bersama Rafizi Ramli, Chan Ming Kai, Chang Lih Kang, Nurin Aina, Sim Tze Zin, Nik Nazmi Nik Ahmad, Kesavan Subramaniam dan ramai yang lain berumur di antara 18 hingga 21 tahun, yang seterusnya menjadi antara anggota awal Parti Keadilan Nasional (sekarang Parti Keadilan Rakyat) menjelang tahun 1999.

Ramai terpaksa hadapi sistem perundangan yang menghukum serta peraturan akademik yang mencabar, sehingga kehilangan masa depan tertiari hanya kerana memilih untuk menyuarakan perbezaan pendapat politik atau bersama dengan parti pembangkang.

Pada tahun 2012, Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) telah memperoleh undian Ahli Parlimen merentasi parti - bagi mendaftarkan rakyat yang berusia 21 tahun ke atas secara automatik sebagai pemilih. Kerajaan ketika itu gagal menghormati keputusan perundangan ini secara keseluruhan.

Hari ini, pada tahun 2021, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak komitmen perundangan yang menyaksikan persetujuan kesemua Ahli Parlimen untuk meminda perlembagaan bagi membolehkan pendaftaran automatik anak muda berusia 18 tahun menjelang 2021.

NURUL IZZAH ANWAR
NURUL IZZAH ANWAR



Sebaliknya, tarikh September 2022 muncul sebagai garis masa baharu - sekaligus menyingkirkan kewibawaan sayap legislatif dan meletakkan kelulusan parlimen hanya sebagai nota kaki, bukan keputusan yang harus dihormati.

Selari dengan angin perubahan yang dirasakan mampu meningkatkan kemampuan kita untuk melaksanakan tindakan politik pada tahun-tahun yang tidak dapat dilupakan seperti tahun 1998-1999, begitulah juga kita harus memberi hak kepada anak-anak muda berusia 18 tahun bagi memilih dan membina masa depan bersama.

2021 adalah tahun norma baru; perniagaan e-dagang; organisasi kerja di atas talian, pendidikan, dan literasi digital yang lain.

Sudah tentu ini adalah tahun dimana kita tidak boleh bertolak ansur dengan Suruhanjaya Pilihan Raya menggunakan alasan kuno seperti mekanisme pendaftaran pemilih yang mencabar bagi menunda anak-anak muda berusia 18 tahun bagi melaksanakan hak mereka.

Artikel Berkaitan:


SPR, dan semua anggota Parlimen harus menghormati dan melaksanakan komitmen perundangan yang dimeterai pada 2019 dan memastikan anak muda 18 tahun layak mengundi tahun ini.

*** NURUL IZZAH ANWAR

Ahli Parlimen Permatang Pauh

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!