Permohonan Najib dapatkan dokumen kes 1MDB didengar 20 Mei

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada menetapkan 20 Mei untuk mendengar permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mendapatkan perintah mahkamah menuntut pihak pendakwaan mengemukakan beberapa penyata perbankan dan dokumen lain kepada pasukan pembelaannya dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang melibatkan dana RM2.3 bilion.

Semasa dihubungi pemberita, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P. Kunyalam berkata, tarikh itu ditetapkan Hakim Collin Lawrence Sequerah ketika sebutan kes pada Jumaat.

“Mahkamah memerintahkan pendakwaan memfailkan jawapan mereka kepada afidavit Najib pada 26 April dan mereka (Najib) perlu memfailkan jawapan kepada afidavit pendakwaan pada 5 Mei,” katanya dan menambah bahawa mahkamah turut memerintahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis pada 17 Mei.

Pada 24 Mac, pasukan pembelaan bekas perdana menteri itu, yang diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memfailkan notis usul, antara lain mendakwa dokumen itu berada di tangan pihak pendakwaan, atau entiti lain.

Dalam afidavit yang disahkan oleh Najib, 67, bagi menyokong permohonannya, Ahli Parlimen Pekan itu berkata dokumen itu penting dan mempunyai kaitan kepada perbicaraan 1MDB kerana ia tidak ditampilkan kepada pasukan pembelaan sebelum kes bermula.

Menurut afidavit itu, Najib mendakwa beberapa penyata dan dokumen itu mempunyai kaitan dengan syarikat berkenaan, yang dipercayai turut membabitkan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low dan keluarga bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Menurut notis usul itu, antara dokumen yang dimohon daripada pihak pendakwaan adalah penyata akaun bagi Aktis Capital Singapore Pte Ltd, Country Group Securities Public Company Ltd, ACME Time Ltd (BVI), Butamba Investments Ltd, dan Central Holdings Ltd.

Selain penyata bank, Najib juga memohon sijil ‘incumbency’, deklarasi identiti pemilik benefisial syarikat, daftar anggota, daftar pengarah serta surat-menyurat antara bank dan syarikat itu mengenai urus niaganya, termasuk e-mel, pemindahan telegraf, borang pengiriman wang, laporan transaksi, pesanan pembayaran, nasihat kredit dan memo bank.

Artikel Berkaitan:

Permohonan itu menuntut pendedahan dokumen-dokumen daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan BNM atau mana-mana entiti lain yang memiliki dokumen berkenaan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!