Maritim rampas dadah bernilai RM3.8 juta
BATU PAHAT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup dadah jenis syabu seberat 69 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM3.8 juta di perairan Parit Amat, Muar pada Khamis.
Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, serbuan pada jam 11.20 pagi itu adalah hasil maklumat awam berkaitan sebuah bot fiber dalam situasi mencurigakan berlegar dan cuba memasuki perairan Parit Amat.
Berikutan itu katanya, Zon Maritim Batu Pahat menggerakkan dua bot ronda ke lokasi bagi mengesan serta memeriksa bot fiber berkenaan yang dilaporkan disyaki dari Indonesia.
"Sebaik bot ronda pertama tiba di sekitar lokasi, anggota penguat kuasa mengesan sebuah bot fiber dinaiki dua lelaki sedang bergerak keluar dari Parit Amat dan disyaki bot suspek sebagaimana laporan awam.
"Sebaik melihat kehadiran bot pihak berkuasa, suspek bertindak menukar haluan dengan berpatah balik memasuki Parit Amat dan memecut laju ke arah hutan paya bakau berhampiran," katanya pada sidang akhbar di sini pada Jumaat.
Katanya, kedua-dua suspek meninggalkan bot berserta semua muatan pada kedudukan 0.1 batu nautika barat daya Parit Amat.
Menurutnya, kedua-dua suspek melarikan diri dengan menyusup ke dalam hutan paya bakau sebelum menghilangkan diri.
"Pihak maritim melakukan pemeriksaan dalam bot yang ditinggalkan itu manakala bot ronda maritim kedua yang tiba di lokasi bertindak menyusur tepian bagi mengesan dua suspek tersebut namun tidak menemukannya," katanya.
Jelasnya, proses pencarian suspek di kawasan darat dilakukan dan turut dibantu Pasukan Gerakan Am Batalion 6 (PGA).
Beliau berkata, pemeriksaan ke atas bot fiber suspek itu menemui empat beg plastik pelbagai warna, satu bungkusan kurier serta satu beg sandang mengandungi 66 paket bungkusan teh Cina mengandungi hablur (kristal) dipercayai dadah jenis syabu.
"Bot berukuran 24 kaki panjang dan lebar enam kaki itu menggunakan enjin model Mercury dengan kekuatan 150 kuasa kuda dirampas bersama-sama muatan dan dibawa ke Zon Maritim Batu Pahat untuk disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Nurul Hizam memberitahu, nilai kesemua rampasan dianggarkan bernilai kira-kira RM3.8 juta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!