Koperal bunuh diri miliki pistol secara sah

Mohd Said (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada waris keluarga pada Jumaat.
Mohd Said (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada waris keluarga pada Jumaat.
A
A
A

SEREMBAN - Senjata api yang digunakan oleh anggota polis berpangkat koperal dalam kejadian menembak anaknya sebelum membunuh diri itu diperoleh secara sah.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, anggota polis tersebut diberi kebenaran memiliki senjata api untuk keperluan tugas.

Katanya, mendiang, J Rajkumar, 35, merupakan seorang detektif dan diberi kebenaran memiliki senjata api selama tiga bulan.

"Pistol itu diberi kebenaran kepada setiap detektif dalam dua kategori, ada diberi secara harian dan ada diberi tiga bulan sekali.

"Disebabkan anggota adalah detektif jadi kita beri kebenaran (memiliki senjata api) untuk keperluan tugas selama tiga bulan, dan diberi kebenaran memegang senjata api 24 jam bersamanya demi kepentingan tugas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Unit Jabatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban, di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Mohd Said memberitahu, hasil laporan bedah siasat terhadap kedua-dua mayat itu mendapati, punca kematian mereka adalah disebabkan kecederaan akibat tembakan di kepala.

ARTIKEL BERKAITAN: Menunggu suami datang, rupanya berita duka yang tiba

Artikel Berkaitan:

Walau bagaimanapun katanya, punca kejadian masih dalam siasatan.

"Apabila semuanya selesai kita akan serahkan mayat dua beranak ini kepada keluarga untuk urusan pengkebumian.

"Kita dimaklumkan urusan membakar mayat akan dilakukan pada jam 5 petang esok (Sabtu) di Pusat Pembakaran Mayat Templer, Seremban," katanya.

Pada Khamis, seorang anggota polis menembak anaknya berusia tujuh tahun, sebelum menembak dirinya sendiri di tepi jalan di Taman Sentosa Jaya di sini, pada jam 6.42 petang.

Mayat dua beranak itu ditemui di dalam kereta jenis Proton Wira dengan kesan tembakan di kepala.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!