Kerjasama politik: Apa pilihan UMNO?
SELEPAS tumbang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), banyak perubahan yang dapat diperhatikan terhadap UMNO sebagai sebuah parti politik. Antara perubahan terbesar UMNO dapat dilihat apabila ia mahu bekerjasama dengan seteru lama, Pas menerusi Muafakat Nasional (MN) dan bergabung dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) Mac tahun lalu.
Dua kerjasama itu memperlihatkan UMNO adalah sebuah parti terbuka dan bersedia untuk berubah. Walaupun ada yang skeptikal melihat ia berlaku ketika UMNO sudah hilang taringnya, sekurang-kurangnya UMNO cepat sedar dan pantas bangkit membina kekuatan baharu.
Hebatnya UMNO dalam keadaan sebegitu pun, masih ramai yang mahu menjalin hubungan politik dengannya. Kalau sampai ada cakap-cakap bahawa DAP pun mahu bekerjasama dengan UMNO, maka apa lagi alasan untuk menidakkan pengaruh dan kekuatan parti itu dalam landskap politik negara.
Namun, bacaan sedemikian barangkali terlalu simplistik untuk menilai kekuatan sebenar UMNO. Yang jelas, pinangan lawan kepada UMNO ketika ini disebabkan dinamika politik yang berubah. Cumanya, perubahan itu hanya berlaku di peringkat pengundi tetapi tidak berlaku di peringkat sistem politik.
Jelas, politik angka akan sentiasa menjadi isu paling pokok bagi setiap parti politik. Amat sukar bagi mana-mana parti politik bergerak bersendirian tanpa ada pakatan strategik ketika pilihan raya. Hakikat politik angka yang menuntut mana-mana parti untuk mempunyai majoriti bagi membentuk kerajaan menjadi perkiraan asas setiap kali pilihan raya diadakan.
Majoriti ini amat sukar diperoleh disebabkan pola pengundian yang dipengaruhi faktor geografi, demografi, etnisiti dan persepsi pengundi.
Sebagai sebuah parti politik yang lama dan berpengalaman, UMNO sememangnya faham dengan tuntutan tersebut. Dari zaman ‘Kapal Layar’ Perikatan sehinggalah era ‘Dacing’ Barisan Nasional (BN), formula gabungan dan penyesuaian politik menjadi teras kekuatan. Dan sebab itu jugalah, pembangkang mula membentuk gabungan bagi mengimbangi, kalaupun tidak mampu menyaingi BN ketika pilihan raya disebabkan perkara tersebut.
Gabungan
Dan, faktor yang sama jugalah menyumbang kepada kejatuhan BN tahun 2018. PH akhirnya berjaya membentuk satu gabungan pembangkang yang mantap dan bersedia berbanding gabungan sebelumnya. Gabungan parti Amanah (Islam), Bersatu (Melayu) membentuk alternatif baharu buat orang Melayu untuk menyaingi UMNO dan Pas ternyata membuahkan hasil.
Setakat ini rating penerimaan UMNO khususnya dalam kalangan orang Melayu masih tinggi. Rekod pilihan raya kecil dua tahun kebelakangan ini boleh diambil kira sebagai indikasi perkiraan tersebut. Sebab itu, UMNO yakin mereka tidak memerlukan Bersatu untuk sebarang kerjasama pada pilihan raya akan datang. Ada banyak kelebihan UMNO berbanding Bersatu yang tak perlulah diulas dengan lebih panjang.
Memilih untuk bekerjasama dengan DAP juga bukan satu pilihan buat UMNO. Persepsi negatif orang Melayu terhadap parti itu dilihat mampu merosakkan imej dan kompas moral UMNO sebagai parti Melayu. Walaupun ada kelebihan buat UMNO jika bekerjasama dengan DAP, mengambil kira sentimen undi orang Cina yang masih menjauhi MCA, penerimaan umum orang Melayu terhadap DAP masih ditahap yang rendah.
Tambahan pula, pengalaman DAP dua tahun menjadi kerajaan memperlihatkan bagaimana ada usaha-usaha sabotaj dan elemen deep state terhadap parti itu oleh kakitangan awam yang rata-ratanya orang Melayu disebabkan mereka menganggap PH adalah kerajaan DAP (walaupun tidak pernah dibuktikan).
Setakat ini, UMNO faham keperluan untuk membentuk satu gabungan politik yang mantap. Dengan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) kali ini dianggap medan persiapan parti itu untuk menghadapi pilihan raya, apakah UMNO sudah cukup bersedia dengan apa yang ada ketika ini? Kalau pun ada jajaran kerjasama politik baharu, maka apakah bentuknya? Dan yang paling penting siapakah orangnya?
* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!