KL City FC jamin harga tiket tak bebankan penyokong

Kuala Lumpur City antara kelab yang bersaing pada saingan Liga-M musim ini. -Foto: Kuala Lumpur City
Kuala Lumpur City antara kelab yang bersaing pada saingan Liga-M musim ini. -Foto: Kuala Lumpur City
A
A
A

KUALA LUMPUR CITY FC belum memutuskan harga tiket yang akan dikenakan kepada penyokong untuk menyaksikan perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Lumpur City FC, Stanley Bernard berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat selewat-lewatnya minggu ini bagi membincangkan mengenai harga tiket tersebut.

“Setakat ini kami belum putuskan mengenai harga tiket. Selepas satu mesyuarat diadakan dalam masa terdekat, barulah kami akan mengumumkan harga tiket itu kepada penyokong.

“Apa yang boleh saya katakan, kami tiada masalah untuk melakukan yang terbaik untuk penyokong. Kalau naik harga sekalipun, kami tiada niat pun nak naikkan dengan harga yang mahal. Mungkin naik pada kadar satu atau dua ringgit, ia masih logik, munasabah dan tidak membebankan penyokong.

“Kami faham, penyokong juga dalam keadaan susah sekarang. Apa yang kami harapkan ialah penyokong dapat kembali memeriahkan stadium dan menghidupkan kembali suasana bola sepak di negara kita ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, prosedur operasi standard (SOP) ketat akan dikenakan kepada setiap penyokong yang hadir ke Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur mulai 3 April ini.

“Seramai 1,450 penyokong akan dibenarkan masuk ke stadium, namun perlu melalui SOP yang ketat. Antaranya pada waktu rehat separuh masa tidak boleh ke tandas dan perlu duduk di kerusi masing-masing. Pergerakan masuk dan keluar stadium juga dikawal ketat.

“Kami nak pastikan agar SOP ini dapat dilaksanakan dengan baik dalam usaha membawa kembali penyokong ke stadium ini berjaya dan acuan norma baharu ini dapat diteruskan bagi memastikan saingan liga kita terus meriah,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, kerajaan memberikan kebenaran kepada penyokong untuk kembali ke stadium dengan dua perlawanan - Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Melaka United FC di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri pada 2 April dan Kuala Lumpur City FC bertemu Sabah di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada 3 April dipilih sebagai projek perintis menilai keberkesanan protokol pengurusan penonton.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!