PAU: Krisis kepimpinan dan wadah perjuangan

Dr Syed Agil Alsagoff
Dr Syed Agil Alsagoff
A
A
A

PERHIMPUNAN Agung UMNO (PAU) 2020 yang diadakan julung-julung kali ini ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat gara-hara pandemik Covid-19 merupakan acara yang dinanti-nantikan oleh semua ahli parti itu dan para pemerhati politik tanah air.

Banyak perdebatan isu, persoalan dan permuafakatan menjadi agenda PAU UMNO kali ini. Apatah lagi pertembungan konflik pergelutan kuasa bersama Kerajaan Perikatan Nasional (PN) disebabkan ketidakpuashatian terhadap beberapa isu persefahaman politik, telah memuncak.

Ini kerana apabila lebih daripada separuh bahagian dalam UMNO secara konsensusnya bersetuju untuk memutuskan jalinan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berlangsung dan bersedia untuk bertanding ke semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang pernah ditandinginnya semasa PRU14.

Agenda utama PAU 2020 kali ini ialah untuk mendapatkan konsensus daripada semua perwakilan mengenai halatuju dan masa depan jalinan persefahaman politik di antara parti itu dengan Bersatu, memperkukuh dan memperkasakan jalinan kerjasama dengan parti-parti di bawah Barisan Nasional (BN) dan Muafakat Nasional (MN).

Bagi tujuan ini, UMNO juga harus mempersiapkan strategi politik untuk memperkukuhkan parti bagi menghadapi PRU15 dan merampas kembali kerusi-kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kalah ditandingi semasa PRU14 dahulu.

Agenda-agenda ini sebenarnya adalah berat untuk dihadapi oleh UMNO kerana ia menguji kewibawaan parti yang pernah mengepalai kerajaan BN selama lebih 50 tahun itu dengan keupayaan parti untuk mempertahankan reputasi dan maruah mereka apalagi berhadapan dengan pelbagai onak duri yang boleh mengancam parti itu daripada terus menerajui perjuangan politik orang Melayu pada hari ini dan akan datang.

Persoalan mengenai kepimpinan dalam parti dijangka diberikan fokus agenda PAU kali ini. Untuk memastikan UMNO terus relevan dan bermaruah memperjuangkan politik Melayu, UMNO harus memperkemas dan memperkukuhkan nilai kepemimpinan parti dengan mempamerkan nilai kredibiliti para pemimpinnya yang menaruh kesetiaan terhadap perjuangan parti.

Sudah pastinya UMNO menaruhkan para pemimpin parti yang bukan ‘serampang dua mata’ dalam perjuangan parti atau menjadi ‘gunting dalam lipatan’ dengan membelakangkan maruah parti demi kepentingan peribadi.

Artikel Berkaitan:

Sudah sampai masanya juga UMNO harus memasang strategi untuk mengelakkan para pemimpinnya ‘melompat’ parti dan menjadikan UMNO sebagai platform taruhan untuk menjadi pentas kepentingan politik peribadi tanpa memikirkan hala tuju dan masa depan umat Melayu di negara ini.

Lantaran itu, UMNO harus berubah. UMNO harus memimpin dan menggerakkan strategi untuk memperkukuh nilai kepimpinan utama parti dengan mempertaruhkan nilai persefahaman yang kukuh dalam kalangan ahli parti.

UMNO harus melakarkan kanvas hala tuju parti yang boleh digembelingkan untuk perjuangan politik umat Melayu hari ini dan akan datang dengan mengambil kira semua usaha dan cabaran politik dalam dunia yang mempertaruh kebebasan bermaklumat dan hak asasi yang menjadi pegangan generasi muda hari ini.

UMNO harus menumpukan usaha untuk mempamer reputasi politik yang berteraskan kepada keperluan generasi muda dengan mempertahankan hak-hak dan keperluan mereka dengan menyediakan lebih banyak ruang untuk golongan ini ‘berkarya’ dalam politik tanah air, mendengar keluhan mereka dan merangsang perancangan kehidupan mereka yang lebih baik, lebih-lebih lagi kehidupan mereka terjejas teruk angkara pandemik Covid-19 hari ini.

Hal ini akan menjadikan reputasi UMNO lebih relevan terhadap golongan ini dan berupaya menarik minat lebih ramai golongan muda memilih UMNO sebagai wadah perjuangan mereka.

Dari segi permuafakatan dan persefahaman bersama parti-parti lain, saya tidak menolak bahawa UMNO akan menjadi ‘parti taruhan kuasa’ atau “king player” sekiranya parti ini memperoleh lebih daripada 40 kerusi parlimen dalam PRU15 nanti.

UMNO dijangka berupaya untuk bergabung dengan mana-mana parti lain bagi mendirikan kerajaan sekiranya UMNO berjaya menarik lebih ramai pengundi Melayu dan berupaya menjanjikan nilai kepemimpinan parti yang lebih baik dan mempamerkan reputasi parti yang tidak berkompromi dengan anasir-anasir yang boleh merosakkan maruah dan nama baik parti tersebut.

Saya juga berpandangan bahawa perlu wujudnya anjakan paradigma dalam wadah perjuangan pucuk pimpinan parti dengan menyediakan lebih banyak ruang kepada ahli-ahli UMNO mengemukakan pandangan dan kritikan bernas demi untuk merubah wajah perjuangan parti supaya ia lebih mampan dan mampu memenuhi cita rasa generasi hari ini dan memperjuangkan nasib masa depan umat Melayu dengan pendekatan lebih holistik, berintegriti dan terbuka.

UMNO juga dilihat harus memperkasa dan memperteguhkan jalinan kerjasama bersama parti-parti politik yang lain, bersama-sama berkongsi wadah perjuangan yang memberikan keutamaan kepentingan kepada rakyat dan negara.

Ini penting kerana citra budaya politik pada hari ini amat mempertaruh kesediaan parti-parti politik untuk mempertahan dan mengubah nasib dan masa depan rakyat dengan lebih baik, bertepatan dengan keperluan zaman dan berupaya untuk menyambung kelestarian kemakmuran ekonomi dan kestabilan politik negara menuju ke aras negara maju tidak lama lagi.

Justeru itu, UMNO harus lebih terbuka menjalinkan hubungan dengan parti seperti Bersatu dan Pas untuk meneruskan kelestarian kemakmuran persefahaman umat Melayu dan pada masa yang sama mencari peluang untuk menjalinkan kerjasama baharu dengan parti-parti lain untuk merangsang strategi permuafakatan politik dan ekonomi lebih baik untuk masa depan UMNO.

Dalam erti kata lain, UMNO harus bersikap lebih agresif mempertahankan semua isu dan persoalan yang membelenggu nasib umat Melayu Malaysia hari ini seperti aspek perihal keagamaan, kedaulatan negara dan perpaduan umat Melayu.

Dengan keupayaan dunia digital hari ini melengkapi kehidupan manusia, UMNO harus berusaha mengambil kesempatan untuk memanfaatkan teknologi digital ini secara optimum dengan menyediakan lebih banyak platform kepada ahli-ahli dan masyarakat Melayu untuk memperkasa bidang digital sebagai landasan yang dapat meningkatkan sosioekonomi mereka pada hari ini.

Harapan semoga PAU 2020 kali ini akan memberikan nafas baharu kepada UMNO untuk mengubah imej dan reputasi parti ini supaya ia kekal relevan demi mempertaruhkan wadah perjuangan umat Melayu di negara ini.

* Dr Syed Agil Alsagoff. ialah Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!