Jangan cemari politik dengan aktiviti 'lelong' ahli Parlimen

Mohamad melambaikan tangan selepas bercakap pada sidang media pada acara perasmian serentak Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
Mohamad melambaikan tangan selepas bercakap pada sidang media pada acara perasmian serentak Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - UMNO menegaskan bahawa parti itu tidak mahu melihat suasana politik di negara dicemari dengan aktiviti 'melelong' ahli Parlimen.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pihaknya juga tidak mahu ada lagi kegiatan ugut-mengugut. "Tidak ada lagi senario mempergunakan darurat demi kelangsungan kuasa politik dan tidak ada lagi percaturan tidak bermoral yang melingkupkan nilai dalam berpolitik dan amalan demokrasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Sabtu.

Mohamad yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau berkata, UMNO melalui Barisan Nasional (BN) hanya akan bekerjasama dengan mereka yang berprinsip dan diterima rakyat.

“Biar apapun pembaikan politik yang kita mahu lakukan, ia mesti bersifat terangkum dan menjadi wahana keadilan dan kebaikan untuk semua. Orang Melayu, bukan Melayu serta Malaysia.

“UMNO akan menyantuni semua dan meneroka persefahaman dengan semua. Parti politik atau bukan parti politik, kerajaan atau bukan kerajaan, rakyat biasa atau golongan pemodal, yang tua atau remaja. Semua harus menjadi pemegang taruh dalam pembaikan politik ini,” katanya.

Beliau berkata, sebarang pembaikan politik yang mahu parti itu ikhtiarkan mesti menjadikan UMNO sebagai teras, Malaysia sebagai asas dan kestabilan politik sebagai matlamat yang dipertahankan bersama secara saksama.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, sekiranya UMNO benar-benar mahu memeta satu pembaharuan politik, kepimpinan parti itu akan mengambil pendekatan berhati-hati dengan perkiraan jangka masa panjang yang matang.

Artikel Berkaitan:

“Ia akan berpandu nilai, mendapat dukungan akar umbi parti, terangkum dan tidak meminggirkan mana-mana pihak.

“Insya-ALLAH, pembaikan politik yang UMNO usahakan akhirnya mesti menjadikan politik di Malaysia lebih baik dan dengan politik yang lebih baik ini, UMNO akan mengusahakan sebuah pemerintahan yang berpotensi memulihkan Malaysia,” katanya.

Beliau dalam masa sama turut menegaskan, belum ada sebarang ketetapan parti mana yang akan dipilih untuk dampingi UMNO ke arah pembaikan politik tersebut.

“Semua ini masih kekal sebagai satu kemungkinan. Semuanya harus melihat kepada keperluan dan keadaan. Masa akan menentukan.

”Tetapi, yang boleh ditegaskan, semua keputusan dan tindakan dalam pembaikan politik ini, mesti diputuskan oleh semua dan bukan segelintir.

"Ia mesti disepakati dan bukan dipaksa-paksa sebab UMNO ini bukan parti terdesak. Kita bukan mereka yang menjaja janji demi mengemis kuasa,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!