Jangan takut ambil vaksin Covid-19: PM
MUAR - Rakyat tidak perlu takut untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 dan mengambil peluang itu yang diberikan secara percuma oleh kerajaan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rakyat juga digesa supaya segera mendaftarkan diri bagi menyertai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) demi kesejahteraan diri masing-masing.
“Saya minta orang Pagoh wajib mendapatkan suntikan ini. Saya dan isteri sudah dapat vaksin dua kali, tengok masih sihat. Tidak ada masalah, makan macam biasa, tidur macam biasa, jadi jangan takut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Jom Ke Sekolah Parlimen Pagoh dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir Bersama Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Pendidikan Yayasan Pelajaran Mara (YPM) di Kompleks Sukan Pagoh di sini pada Sabtu.
Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, beliau mahu jumlah rakyat yang mendaftar dalam PICK mencapai seramai 10 juta sehingga 26 juta orang.
“Apabila ramai dapat suntikan vaksin, maka negara kita lebih selamat. Itu tujuan kerajaan bukan dengan niat apa tetapi untuk menolong rakyat.
"Rakyat harus tolong diri sendiri untuk memastikan kehidupan yang selamat dan sihat,” katanya.
Katanya, menerusi taklimat yang diberikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba pada Jumaat, mendapati seramai tujuh juta rakyat Malaysia sudah berdaftar dengan PICK.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!