Halangan pelaksanaan Undi 18 di pihak SPR bukan PN: PM
MUAR - Kerajaan berpuas hati dengan penjelasan diberikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai keputusan berhubung penundaan pelaksanaan Undi 18 ke tahun hadapan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau sudah memanggil Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh untuk mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu.
"Faktanya, SPR tidak dapat melaksanakannya kerana keadaan sekarang. Ada halangan yang tidak dapat mereka atasi.
"Masalahnya bukan mengenai kerajaan Perikatan Nasional. Tetapi perkara ini tentang SPR kerana mereka yang akan melaksanakan RUU (rang undang-undang) tersebut. Sebagai pemerintah, kami akan menyokong mereka," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Zon Ekonomi Khas Pagoh Fasa Satu, Bandar Universiti Pagoh, di sini pada Sabtu.
Muhyiddin yang merupakan Ahli Parlimen Pagoh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Gambir berkata, semua pihak harus bersikap realistik dan melihat bagaimana SPR dapat melakukannya.
Pada Khamis, SPR dalam kenyataannya memaklumkan, pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran automatik hanya dapat dibuat menjelang 1 September 2022, iaitu penangguhan melebihi satu tahun daripada sasaran ditetapkan sebelum ini iaitu pada Julai tahun ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Pendaftaran pemilih automatik selepas 1 September 2022
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!