Lebih banyak 'sakura' warnai KL
KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil inisiatif bagi menanam 10,030 pokok jenis Tekoma di sekitar bandar raya ini.
Menerusi kemaskini di laman Facebook pada Sabtu, DBKL berkata, daripada jumlah itu, 1,173 pokok ditanam di pinggir jalan yang berfungsi bukan sahaja untuk tujuan teduhan dan kehijauan malah turut berperanan sebagai aspek pengindahan awam.
Menurutnya, pokok-pokok yang ditanam ini juga menghasilkan bunga menarik dengan kombinasi warna merah jambu dan putih.
"Selain itu, pokok-pokok ini juga turut ditanam di taman-taman awam di bawah seliaan DBKL," katanya.
Dalam pada itu, DBKL berkata, buat masa ini, pokok-pokok berkenaan dapat dilihat di pinggiran jalan utama sekitar Kuala Lumpur antaranya Jalan Klang Lama, Jalan Kuching, Jalan Sri Permaisuri, Jalan Metroprima Kepong dan Lebuhraya Baru Pantai (NPE).
Katanya, penanaman pokok ini akan diperluaskan lagi dari masa ke masa mengikut kesesuaian.
"DBKL akan terus memastikan bandar raya ini kekal indah dan ceria tetapi anda sebagai warganya yang akan memastikan sama ada keindahan ini terus berkekalan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!