Duit dalam akaun lesap akibat percaya SMS palsu

SMS yang diterima mangsa menyebabkan kerugian sebanyak RM39,900. Gambar kiri: Noorzainy Mohd Noor
SMS yang diterima mangsa menyebabkan kerugian sebanyak RM39,900. Gambar kiri: Noorzainy Mohd Noor
A
A
A

BUTTERWORTH - Akibat percaya dengan khidmat pesanan ringkas (SMS) mengatakan akaun simpanannya berisiko terdedah kepada individu lain, seorang pekerja swasta berputih mata apabila wang di dalam akaun tersebut lesap.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa mendakwa menerima pautan melalui khidmat SMS daripada sebuah bank yang mengatakan akaun simpanannya berisiko tinggi terdedah kepada pihak ketiga.

Menurutnya, mangsa kemudian menekan pautan yang diberikan dan mengisi ruangan disediakan seperti menyerahkan maklumat peribadi dan maklumat akaun.

"Selepas mengisi ruangan pada pautan tersebut, mangsa kemudian menerima SMS dari sebuah bank mendakwa telah membuat pindahan wang ke dalam akaun bank yang tidak diketahui.

"Mangsa telah menghubungi pihak bank dan dimaklumkan terdapat pindahan wang dari akaun milik mangsa sebanyak tiga transaksi berjumlah RM39,900," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Noorzainy bagaimanapun berkata, polis tidak menolak kemungkinan sindiket penipuan itu menggunakan modus operandi baharu untuk memperdaya mangsa dengan menghantar pautan bank palsu melalui SMS.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang awam agar tidak mudah terpedaya dengan SMS yang mencurigakan, sebaliknya membuat semakan terlebih dahulu dengan pihak bank atau polis sebelum membuat pengesahan pautan yang diterima.

"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Polis kini sedang mengesan suspek terlibat dalam penipuan itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!