Tiga sekawan ditahan curi tong RORO
KLANG - Polis menahan tiga sekawan kerana terlibat dalam kes mencuri tong 'Roll On Roll Off' (RORO) di Taman Sentosa, di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, tangkapan berasingan tiga lelaki berusia lingkungan 26 hingga 36 tahun di sekitar Klang itu dibuat susulan laporan yang dibuat seorang peniaga berkenaan kehilangan dua tong RORO.
"Operasi diketuai Ketua Polis Balai Klang, Inspektor Ahmad Afiq Rusli itu bertindak merampas sebuah lori jenis Hicom, serangkai kunci serta sebuah tong RORO.
"Semakan juga mendapati ketiga-tiga suspek berkenaan memiliki rekod jenayah lampau," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Beliau berkata, kesemua suspek juga mengaku terlibat dalam kes terbabit.
Katanya, dipercayai kegiatan itu mula dilakukan suspek sejak tiga hari sebelum kesemua mereka tertangkap.
"Soal siasat juga mendapati kegiatan itu didalangi dua suspek, manakala seorang lagi adalah pembeli yang menjalankan perniagaan besi buruk," katanya.
Tegasnya, ketiga-tiga suspek kini direman empat hari sehingga Ahad untuk disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!