'Calon perdana menteri? Awak bercakap dengan dia sekarang' - Tok Mat
KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan membuat 'kejutan' pada Sabtu dengan mengatakan dirinya adalah calon perdana menteri sekiranya UMNO memenangi pilihan raya akan datang.
Kenyataan bersifat gurauan itu dibuat Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau ketika diajukan soalan tersebut pada sidang akhbar selepas selesai berucap merasmikan Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini pada Sabtu.
"Awak bercakap dengan dia sekarang," katanya.
Melihat akan reaksi pihak media yang seakan terkejut dengan kenyataannya itu, Mohamad segera memberi penjelasan.
Mohamad pada masa sama mengingatkan petugas media agar tidak menjadikan gurauan itu sebagai sesuatu yang serius.
"Jika awak qoute (petik nama) saya, tiada lagi kenyataan media daripada saya (selepas ini. Saya (seorang yang) suka bergurau," katanya.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai pemilihan calon perdana menteri, Mohamad atau lebih mesra dengan panggilan Tok Mat berkata, perkara itu hanya akan diputuskan oleh parti.
Katanya, apa sahaja keputusan membabitkan parti, ia akan ditentukan melalui parti itu sendiri, bukannya oleh mana-mana individu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!