Muhyiddin ziarah sahabat lama
MUAR - Meskipun sibuk dan mempunyai jadual padat, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sempat meluangkan masa menziarahi sahabat lamanya dan warga emas di Kampung Liang Batu di sini, dalam program lawatan sehari ke Parlimen Pagoh pada Sabtu.
Muhyiddin bersama isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman mengunjungi bekas pesara polis yang pernah bertugas di Balai Polis Bukit Kepong, A Hamid Yakim, 88, dan isterinya Fatimah Abdullah, 83.
Menurut anak perempuan pasangan itu, Sidah A Hamid, 56, bapanya merupakan kenalan lama perdana menteri sewaktu Muhyiddin mula-mula menceburi politik dan aktif bersama-sama dalam Pergerakan Pemuda UMNO kira-kira 40 tahun lalu.
"Sewaktu datang ke rumah tadi, perdana menteri sempat berpesan kepada ayah dan mak saya supaya menjaga diri dan kesihatan, tambahan pula dalam keadaan pandemik ketika ini," katanya ketika ditemui Bernama.
Menurut Sidah, bapanya pernah bertugas di Balai Polis Bukit Kepong ketika peristiwa berdarah mengorbankan 25 nyawa iaitu 19 anggota polis dan ahli keluarga mereka itu pada 23 Februari 1950.
Bagaimanapun, menurut wanita itu bapanya bernasib baik kerana pulang ke rumah di Kampung Liang Batu ketika komunis melancarkan serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong berkenaan.
Pada kunjungan itu, perdana menteri menyerahkan sumbangan kerusi roda serta kit makanan kepada isteri A Hamid.
Sementara itu, Muhyiddin turut meluangkan masa menziarahi seorang lagi warga emas di kampung berkenaan, Fatimah Abd Majid, 78.
Seorang daripada anak Fatimah, Rosnah Sabar, 54, berkata kedatangan Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh sedikit-sebanyak membawa keceriaan kepada ibunya yang terlantar sejak tiga tahun lepas akibat penyakit angin ahmar.
"Perdana menteri sempat berpesan supaya ibu mengambil ubat mengikut saranan doktor dan mengamalkan penjarakan fizikal untuk mengelakkan jangkitan Covid-19," katanya.
Muhyiddin turut menimbang pembinaan rumah baharu di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin kepada Fatimah. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!