Tautan Cinta di 'Jabal Rahmah'
HASRAT dan impian pasangan selebriti, Noor Neelofa Mohd Noor serta Haris Ismail atau dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Riz untuk mendirikan rumah tangga akhirnya terlaksana pada pagi Sabtu.
Diraikan dalam suasana penuh romantis dengan dekorasi bunga putih, diiringi alunan zikir dan lagu-lagu nasyid, pasangan ini sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz tepat jam 11.43 pagi.
Berkongsi detik perkenalan dan keistimewaan Haris di matanya, Neelofa atau nama penuhnya Noor Neelofa Mohd Noor mendedahkan sikap lemah lembut dan kematangan pendakwah bebas itu telah memikat hatinya.
“Sejujurnya, saya mula mengenali Haris pada tahun 2017. Sekitar bulan Jun kalau tak salah.
“Kemudian pada 2018, saya bekerjasama buat kali pertama dengannya untuk sebuah projek. Selepas kolaboratif tersebut, kami tidak berhubung sehinggalah setahun kemudian.
“Dari titik pertemuan semula itu, kami mula mengenali hati budi masing-masing. Dia merupakan seorang yang sangat baik, lemah lembut dan matang. Apabila berbual dengannya, kita boleh bincangkan banyak hal dan ia membuatkan saya berasa selesa.
“Dia juga merupakan seorang pendengar yang baik dan sentiasa cuba membantu memberi solusi jika saya menghadapi sebarang kesukaran atau masalah,” katanya.
Ditanya soal cahaya mata, Neelofa berkata, mereka tidak menolak untuk dikurniakan cahaya mata secepat mungkin.
“Seperti mana jodoh, perihal zuriat juga saya serahkan kepada aturan Yang Maha Esa. Jika diberikan rezeki dalam masa terdekat, saya terima dengan tangan terbuka.
“Harapan kami, semoga ALLAH SWT sentiasa memberikan rahmat kepada keluarga kecil yang baru sahaja kami bina dan semoga setiap rahmat itu dapat memupuk hubungan kami sebagai pasangan suami isteri.
“Saya juga ingin berterima kasih kepada semua yang sentiasa mendoakan yang terbaik untuk saya dan juga suami,” ujarnya.
Usahawan dan pengacara popular itu dan Haris selamat diijabkabul dengan sekali lafaz dalam satu majlis yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.
Pada majlis itu, ijab kabul telah disempurnakan oleh adik kandungnya, Mohd Aqief Mohd Noor yang juga menjadi wakil wali bapa mereka, Mohd Noor.
Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor menerima mas kahwin daripada Haris dalam bentuk sebentuk cincin.
Hadir sama pada acara pernikahan itu adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri; ahli keluarga Neelofa iaitu Datuk Halim Khan dan Datin Noor Kartini serta ahli keluarga Haris; Datuk Seri Ismail Nobat dan Datin Seri Normah Johari.
Pasangan ini mengikat tali pertunangan pada 1 November 2020 dalam sebuah majlis tertutup yang hanya dihadiri keluarga kedua belah pihak.
Majlis ikut SOP
Dalam pada itu, menyentuh mengenai majlis akad nikah mereka yang diadakan di hotel, Neelofa berkata, dia bersyukur kerana majlis yang dirancang selamat dilangsungkan.
Biarpun terikat dengan kekangan setelah tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 kembali dilaksanakan bermula 13 Januari lalu, namun bekas pengacara MeleTOP itu bertuah kerana mendapat team yang bagus.
"Alhamdulillah majlis yang kami rancang selamat dilangsungkan. Pereka majlis perkahwinan kami iaitu Reka Teemor berjaya merealisasikan keseluruhan dekorasi hanya dalam sekitar sebulan.
"Walaupun ada kekangan berlaku apabila kerajaan mengumumkan PKP2.0 pada awal tahun ini, tetapi saya sangat bersyukur kerana apa yang dirancang, dapat dilaksanakan pada hari ini.
"Kami dan Reka Teemor bersetuju untuk menggunakan rona putih sebagai satu-satunya warna dalam majlis ini dan mengambil inspirasi di Jabal Rahmah untuk dekorasi keseluruhan," katanya.
Berkongsi berkaitan kerjayanya, Neelofa berkata, dia akan meneruskan karier sebagai usahawan biarpun sudah bergelar isteri.
"Buat masa ini, saya tidak terfikir untuk berehat sementara kerana banyak hal bisnes yang perlukan pemantauan saya walaupun selepas majlis berlangsung.
"Selain beberapa produk baharu yang dilancarkan di bawah jenama minuman Nilofa, koleksi raya Naelofar juga baru sahaja dilancarkan. Memang agak sibuk, tetapi saya cuba untuk membahagikan masa menguruskan rumah tangga.
"Bukan itu sahaja, saya dan Haris ada berkolaboratif menubuhkan Markaz Tijaari dan kami akan memberi fokus kepada Markaz Tijaari terlebih dahulu.
"Bagi pelan jangka masa panjang pula, kami juga merancang memperkenalkan produk-produk lain di bawah jenama tersebut, Insya-ALLAH," kongsinya.
Corat-coret
1. Kira-kira 150 tetamu telah hadir menyaksikan penyatuan pasangan ini. Mereka yang hadir perlu mematuhi kod pakaian serba putih yang ditetapkan. Manakala wanita yang tidak berhijab, diminta memakai selendang, juga berwarna putih.
2. Jabal Rahmah menjadi tema majlis perkahwinan pasangan ini.
3. Pereka perkahwinan, Reka Teemor menggunakan empat tan bunga segar terdiri daripada bunga ros putih, orkid putih, baby breath dan empat jenis bunga lain sebagai hiasan pelamin.
4. Majlis pernikahan pasangan ini diiringi alunan zikir dan persembahan istimewa daripada kumpulan In Team dan Lah Ahmad.
5. Neelofa menggunakan khidmat Sharman Yee sebagai jurusolek dan busana merupakan hasil rekaan Alia Bastamam.
6. Adik Neelofa, Mohamed Aqief Mohd Noor yang menjadi wali dilihat sebak ketika memulakan upacara pernikahan. Dia mengambil masa kira-kira seminit sebelum memulakan kembali upacara akad nikah.
7. Ketika sesi santapan, ruangan makan beradab pengantin ditutup dengan kain putih bagi memberi ruang privasi kepada Neelofa.
8. Tetamu yang hadir diberikan cenderahati istimewa berupa rantai Swarovski, gincu bibir jenama Lancome dan Dyptique from Kens Apothecary.
9. Pengacara Ahmad Fedtri Yahya menjadi pengacara majlis, manakala antara rakan artis lain yang hadir adalah Datuk Rizalman, Awal Ashaari, Scha Alyahya, Hannah Delisha, Izara Aishah, Kilafairy dan Shalma Ainaa.
10. Pasangan pengantin baharu, Engku Emran dan Noor Nabila turut menjadi perhatian ramai. Turut hadir sama, si cantik Engku Aleesya yang tampak mesra dengan ahli keluarga Neelofa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!