UMNO perlu segera 'remajakan parti'
KOTA BHARU - Pemuda UMNO menggesa induk parti itu merealisasikan proses ‘meremajakan’ parti dengan ‘mengangkat’ orang muda dalam sayap parti tersebut sebagai pemimpin sekali gus membawa pembaharuan.
Exco Pemuda UMNO, Leftenan Kolonel Bersekutu (PA), Nik Saiful Adli Burhan berkata, parti bukan sahaja memerlukan idealogi orang muda malah cara kerja juga perlu berubah supaya kedudukan lebih kukuh.
Katanya, kebolehan yang ada pada Pemuda parti kerap dipandang ringan oleh segelintir pemimpin yang sedia ada.
”Usah lagi memandang pemimpin kitar semula, tetapi beri peluang kepada anak muda yang mampu memimpin dan memperbaharui parti ke arah lebih baik.
“Sama ada dalam pemilihan kepimpinan parti, mahupun pemilihan calon dalam pilihan raya, golongan pemimpin muda sedia ada dalam Pemuda UMNO wajar diberi perhatian yang serius untuk diangkat sebagai pemimpin.
“Barulah ‘peremajaan’ parti bukan menjadi sekadar retorik, tetapi realiti dan perkara itu pastinya perlu dimulakan oleh UMNO,” katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Sabtu.
Beliau yang juga Pengerusi Sekretariat Perundangan dan Peguam Muda, Pemuda UMNO berkata, sayap parti kini ‘melupakan‘ terus kemewahan dan tiada lagi memperbincangkan projek mega di Perhimpunan Agung, sebaliknya masing-masing ikhlas membawa agenda perjuangan parti dalam memperkasa bangsa Melayu serta menyatupadukan umat Islam.
“Pemuda UMNO bawah kepimpinan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki adalah satu rahmat kerana beliau berani mengubah norma dan tradisi kemewahan yang mana tidak disukai ramai pihak.
“Tidak boleh dinafikan bahawa Pemuda UMNO antara barisan hadapan yang membawa agenda perpaduan sehingga tercapainya Muafakat Nasional bersama Pas yang tidak pernah terfikir oleh kepimpinan sebelum ini,” katanya.
Menurutnya, dalam ketegangan ideologi pemimpin UMNO dalam kerjasama dengan Perikatan Nasional dan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), kepimpinan Pemuda UMNO tetap teguh bersatu padu mempertahankan perpaduan.
“Cara dan kepimpinan Pemuda UMNO wajar jadi teladan selepas dikira lulus dengan jayanya dalam mengharungi badai sepanjang tiga tahun kebelakangan ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!