Cabaran getir menanti Dik Wan di Tokyo

Mohamad Ridzuan
Mohamad Ridzuan
A
A
A

ATLET Paralimpik elit negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi bakal berdepan cabaran getir dalam usahanya mempertahankan pingat emas yang dimenanginya pada Sukan Paralimpik Rio 2016 di Sukan Paralimpik Tokyo pada Ogos depan.

Ketua Jurulatih Olahraga Paralimpik negara, R Jeganathan mengingatkan Mohamad Ridzuan supaya mengawasi dua pencabar utamanya, James Turner dari Australia dan atlet China, Yang Yifei, kerana mereka berjaya melepasinya dalam acara 100m T36 (palsi serebrum) pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2019 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Namun begitu, Jeganathan sedang berusaha keras untuk memastikan Mohamad Ridzuan atau dikenali sebagai ‘Dik Wan’ dapat mempamerkan ‘larian terbaik dalam hidupnya’ di ibu negara Jepun itu nanti.

“Sudah pasti dia adalah satu daripada prospek pingat kami di Tokyo. Tetapi saya tidak menekankan jenis pingat yang akan disumbangkan, kerana dia akan bersaing dengan pencabar yang lebih muda (Turner dan Yifei).

“Mohamad Ridzuan kini berusia 33 tahun dan ramai yang tidak tahu bahawa sebagai pesakit palsi serebrum, otot dan tendon mereka semakin menegang apabila meningkat usia,” katanya baru-baru ini.

Turner bukan sahaja meraih pingat emas dalam kejohanan di Dubai itu, malah dia turut memecahkan rekod dunia yang dicatat oleh Mohamad Ridzuan dalam Sukan Para Asia Jakarta 2018 (11.87s) setelah mencatat 11.72s manakala Yifei memperoleh perak dengan catatan 11.79s yang turut memperbaharui rekod Asia.

Mohamad Ridzuan pula terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa selepas melakar 11.97s dalam kejohanan itu.

Sementara itu, Jeganathan berharap atlet kelahiran Perlis itu akan dapat menyertai Grand Prix Beijing 2021 di China pada Jun, sekiranya acara itu berjalan seperti yang dijadualkan.

Artikel Berkaitan:

“Kejohanan di Beijing itu sepatutnya diadakan pada April tetapi ia ditangguhkan ke Jun berikutan Covid-19. Saya harap ia akan dapat dilangsungkan pada Jun ini kerana ia menjadi acara antarabangsa terakhir sebelum Sukan Paralimpik di Tokyo,” katanya lagi.

Beliau juga gembira dengan kesungguhan Mohamad Ridzuan menjalani latihan dan gembira kerana Atlet Para Lelaki Terbaik Asia 2018 oleh Jawatankuasa Paralimpik Asia (APC) di Dubai itu, tidak mengalami sebarang kecederaan setakat ini.

“Saya sangat berpuas hati kerana latihan berjalan lancar setakat ini dan saya berharap dia akan teruskan momentum dan dalam prestasi terbaik menjelang Sukan Paralimpik,” katanya.

Selain Mohamad Ridzuan, tiga lagi atlet para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru F20), Abdul Latif Romly (lompat jauh F20) dan Jonathan Wong Kar Gee (lompat jauh T12) -- layak ke Paralimpik Tokyo selepas memenangi pingat pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2019 di Dubai. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!