Ibu sebak ambil diploma arwah anak
KUALA LUMPUR - Seorang ibu kepada empat anak tidak dapat menahan sebak apabila mengambil diploma anaknya yang sudah meninggal dunia pada Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS (PICOMS) kali ke-11 di Menara Bank Rakyat di sini pada Sabtu.
Zalina Othman, 52, merupakan seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Ria, Sungai Petani, Kedah menerima diploma bagi pihak anak bongsunya, Ayuni Shazwanie Shabri dalam jurusan Farmasi.
Ayuni Shazwanie meninggal dunia pada 17 September lalu akibat terhidu karbon monoksida ketika berehat dalam kereta di sebuah stesen minyak di Sama Gagah, Butterworth.
Ketika kejadian, Ayuni Shazwanie bersama tiga rakannya iaitu Sharifah Fariesha Syed Fathi dan pasangan kembar Nor Adilah Mohd Safwan dan Nor Aqilah, masing-masing berusia 21 tahun telah pergi ke Pulau Jerejak semasa cuti umum Hari Malaysia.
Difahamkan, dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Sungai Petani dan Gurun, Kedah, mereka mengambil keputusan untuk berhenti rehat di kawasan parkir berkenaan.
Zalina berkata, Ayuni Shazwanie sangat meminati bidang farmasi dan berhasrat untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam bidang sama sebaik tamat pengajian diploma.
"Arwah sangat mencintai bidang ini sehinggakan semua nama-nama ubat dan kegunaannya dia ingat. Kalau ada dalam kalangan ahli keluarga yang demam atau sakit kepala, memang dialah yang uruskan.
"Bila arwah sudah tidak ada, kami rasa kehilangan. Peti ubat pun kami lihat dengan pandangan yang kosong," katanya ketika ditemui pada majlis konvokesyen berkenaan.
Zalina yang ditemani suaminya, Shabri Ahmad, 53, turut sebak apabila berkongsi mengenai persiapan yang dilakukan Allahyarham untuk menghadiri majlis konvokesyen itu.
"Memang hasrat arwah nak datang sangat di majlis ini. Masa tamat belajar, dia ada cakap nanti kalau datang konvokesyen, dia mahu dua 'graduation bouquet' daripada kakak-kakaknya.
"Arwah sudah siapkan semuanya termasuk baju yang akan dipakai, tapi sebab pandemik Covid-19, majlis konvokesyen ditangguhkan. Nak buat macam mana, arwah sudah pergi sebelum sempat menghadiri majlis ini," katanya.
Sementara itu, Normawati Mat Isa yang merupakan ibu kepada pasangan kembar Nor Adilah dan Nor Aqilah berkata, dia sekeluarga reda dengan apa yang berlaku.
Dalam kejadian itu, Nor Adilah meninggal dunia di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Angkatan Tentera Lumut, manakala Nor Aqilah selamat.
"Memang kita merancang, tapi ALLAH SWT yang menentukan segalanya-galanya. Kami sekeluarga reda untuk terima apa yang sudah ditentukan.
"Pasangan kembar ini memang sangat teruja untuk menghadiri majlis konvokesyen ini, tapi bila ditangguhkan, memang mereka terkilan. Tidak sempat nak jumpa rakan-rakan sekolej," kata Normawati.
Normawati turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah mendoakan anaknya ketika kritikal dahulu termasuk bantuan diberikan.
Dalam pada itu, Hasnida Hassan, 48, yang merupakan ibu kepada Sharifah Fariesha menyifatkan anaknya seorang yang baik dan sangat mendengar kata.
"Saya bangga dengan anak saya. Dia satu-satunya anak tunggal saya. Walaupun saya berduka tapi sangat gembira kerana arwah tinggalkan kenangan manis.
"Sebelum meninggal dia ada cakap pada kawannya yang dia rasa lega sangat sekarang sebab sudah bahagiakan ummi. ALLAH SWT lebih sayangkan dia," katanya.
Bagi Nor Aqilah yang merupakan kembar kepada Nor Adilah, sukar untuk digambarkan perasaannya kerana majlis konvokesyen itu adalah impian mereka berempat sepanjang bergelar penuntut.
"Sedihlah kerana hari ini saya ambil diploma seorang diri, sedangkan kami rancang untuk sambut bersama, bergambar bersama. Siap nak upah juru gambar lagi.
"Sebelum ini kami sentiasa berempat dan sekarang saya tidak tahu nak keluar dengan siapa," katanya yang giat menguruskan kedai bundle yang diusahakan Nor Adilah sebelum ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Dua daripada empat sahabat maut lemas dalam kereta
Pada Sabtu, seramai 1,111 graduan pelbagai jurusan diraikan dalam majlis konvokesyen yang diadakan dengan prosedur operasi standard (SOP) bermula Sabtu sehingga 2 April ini.
Seramai 14 graduan terbaik dari setiap program pengajian turut menerima sijil dan diploma selain hadiah iringan berupa sijil penghargaan dan piala yang disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Pada majlis sama turut diadakan simbolik perasmian cawangan City Campus Kolej PICOMS yang bakal beroperasi secara berperingkat April ini yang disempurnakan Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Mohd Daud Bakar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!