Warga emas memandu di bawah pengaruh alkohol ditahan
BENTONG - Polis menahan seorang warga emas kerana memandu kereta di bawah pengaruh alkohol dalam Ops Mabuk sekitar daerah ini pada awal pagi Sabtu.
Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, lelaki berusia 60 tahun itu ditahan kira-kira jam 3 pagi.
Beliau berkata, lelaki warga tempatan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong sebelum dibawa ke Hospital Bentong untuk diambil sampel darah.
"Operasi dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Bentong yang diketuai Asisten Superintendan Zulkifli Yahya.
"Ops Mabuk ini dijalankan bermula jam 11 malam Jumaat sehingga Sabtu," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, walaupun operasi dan penguatkuasaan sering dijalankan polis, namun masih ada mereka yang dikesan memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol.
"Kita memandang serius dengan isu pemandu mabuk dan tidak akan berkompromi dengan mereka yang terlibat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!