Cheng Hoe beri Sumareh pelepasan jalani rawatan
PEMAIN naturalisasi pertama negara Mohamadou Sumareh diberi pelepasan daripada menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya berikutan kecederaan yang dialaminya pada Ahad lalu.
Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe berkata, pemain berusia 26 tahun itu juga memilih untuk menjalani rawatan bersama kelabnya Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Kita pun tahu JDT mempunyai peralatan dan fasiliti terbaik untuk memulihkan kecederaannya, sebab itu kita lepaskannya. Kita berharap beliau pulih 100 peratus untuk kem latihan pusat seterusnya (pada Mei),” katanya ketika ditanya mengenai status pemain itu pada sidang media skuad Harimau Malaya secara maya, hari ini.
Pemain kelahiran Gambia itu yang tidak menyertai latihan skuad kebangsaan selepas mengalami kecederaan hamstring, ketika penampilan pertama bersama skuad Harimau Selatan dalam aksi Liga Super menentang Perak FC di Ipoh, mencetuskan persoalan apabila dilihat menjalani latihan bersama JDT.
Kem latihan pusat selama sembilan hari bermula Isnin lepas di Johor Bahru adalah bagi mempersiapkan skuad Harimau Malaya menghadapi baki saingan Kumpulan G kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Sementara itu, Cheng Hoe lega apabila pemain di bahagian serangan seperti Guilherme de Paula, Norshahrul Idlan Talaha, Muhammad Syafiq Ahmad, Luqman Hakim Shamsudin dan Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi menunjukkan persaingan sihat bagi merebut posisi tersebut.
Beliau turut menjelaskan bahawa Muhammad Syafiq, yang kehilangan anaknya Muhammad Aisy Saqeef, berusia 22 hari dan ibu mentuanya dalam kemalangan ngeri pada Disember lepas, tampil dengan minda positif.
“Saya rasa beliau begitu positif, datang dengan minda yang baik dan dilihat ceria bersama-sama dengan rakan sepasukan. Kita sentiasa memberi nasihat dan memantau prestasinya untuk kekal bersama pasukan,” katanya.
Cheng Hoe juga yakin tanggungjawab mengemudi jentera tengah di posisi Brendan Gan ketika aksi berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE), dapat digalas oleh pemain seperti Muhammad Nazmi Faiz Mansor, Muhammad Danial Amier Norhisham, Mohamed Syamer Kutty Abba dan Muhamad Nor Azam Abdul Azih.
Brendan tidak dapat beraksi menentang UAE apabila digantung satu perlawanan selepas mengutip kad kuning kedua ketika kemenangan 2-0 ke atas Indonesia pada November 2019.
“Apabila Liridon Krasniqi yang sedang beraksi bersama pasukan di luar negara dipanggil nanti, kita harap masalah di posisi tengah selesai. Kita juga sedang memantau prestasi dan kecergasan Junior Eldstal dan Dominic Tan,” katanya.
Skuad Harimau Malaya dijadual bertemu UAE pada 3 Jun sebelum menentang Vietnam (11 Jun) dan melengkapkan kempen kelayakan berdepan Thailand pada 15 Jun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!