Pemuda UMNO persoal pendirian Pas

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO mempersoal pendirian Pas berhubung kenyataan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberi bayangan akan mempertahankan semua kerusi pernah ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, adakah Pas akan bersama dengan UMNO atau sebaliknya.

“Kerana penting sebab sebelum kita pergi perang, kita mesti tahu siapa musuh kita, siapa kawan kita, kawan yang tidak tikam belakang, kawan yang akan bersama-sama kita sehingga ke penghujungnya.

“Dalam konteks ini, sebab itulah kita akan terus berusaha seperti yang dibangkitkan beberapa negeri termasuk Pahang yang mahu Muafakat Nasional (MN) ini dipertahankan dan diperkukuhkan. Itu kita akan ambil pertimbangan yang seberatnya dan serius,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung ucapan perbahasan Pergerakan Sayap Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Sabtu.

Pada Sabtu, Muhyiddin ketika satu program di Muar, Johor memberi bayangan akan mempertahankan semua kerusi yang pernah ditandingi parti itu pada PRU14 sekiranya UMNO tidak mahu bertoleransi melepaskan kerusi berkenaan pada PRU15.

Malah, Ahli Parlimen Pagoh itu juga menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai halangan sekiranya UMNO tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu pada pilihan raya itu nanti.

ARTIKEL BERKAITAN: Bersatu tanding semua kerusi jika UMNO tidak mahu toleransi

Mengulas lanjut, Asyraf berkata, dengan kenyataan dibuat Muhyiddin itu, jelas beliau telah memberikan isyarat tidak akan bertolak ansur dengan kerusi yang UMNO tidak berkompromi.

Artikel Berkaitan:

“Dalam konteks ini, apakah kita masih nak teruskan hidung tak mancung pipi tersorong-sorong? Saya perhatikan tadi, ada enam negeri secara jelas minta kepimpinan buat keputusan yang tegas supaya kita memutuskan hubungan dengan Bersatu,” tegas beliau.

Asyraf berkata, Pemuda UMNO juga turut mendokong keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) bahawa tidak ada kerjasama pada PRU15.

“Setuju? Ada yang bangkang? Tak ada. Maknanya sebulat suara,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!