Bernama nafi terima 'wahyu' berhubung liputan PAU 2020
KUALA LUMPUR - Dakwaan bahawa Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) kononnya menerima ‘wahyu’ untuk liputan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 yang berlangsung pada Sabtu dan Ahad adalah tidak benar, kata Ketua Pengarang, Abdul Rahman Ahmad.
Menegaskan bahawa Bernama membuat liputan seimbang, beliau berkata dakwaan laporan Getaran yang menyatakan bahawa ‘Laporan PAU 2020 Bernada Sendu, Bernama Terima Wahyu?’ itu tidak benar sama sekali.
”Bernama sama sekali tidak menerima sebarang ‘wahyu’ seperti yang didakwa oleh Getaran berhubung liputan Perhimpunan Agung UMNO yang berlangsung selama dua hari di Pusat Dagangan Dunia (WTC),” katanya.
Laporan Getaran itu telah memetik satu sumber Bernama yang enggan dikenali mendakwa kononnya ada ‘wahyu’ supaya tidak menyiarkan laporan berbentuk negatif tentang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Beliau berkata, Bernama telah menugaskan sepasukan 20 orang terdiri daripada wartawan, jurufoto, jurukamera TV dan wartawan penyiaran TV dan radio untuk membuat liputan perhimpunan agung tahunan UMNO kali ini.
Abdul Rahman menegaskan, arahan Bernama kepada pasukan petugas ialah membuat liputan secara profesional seperti yang diamalkan semasa mesyuarat agung tahunan, persidangan atau perhimpunan agung tahunan parti-parti politik sebelum ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!