Ilham, inspirasi karya sastera
HUBUNGAN antara pengkarya, karya dan khalayak sangat penting dalam pertumbuhan dan pembangunan sastera. Ketiga-tiganya diikat dengan tiga hubungan iaitu hubungan manusia dengan Yang Maha Pencipta, hubungan manusia dengan manusia dan hubungan manusia dengan alam.
Malahan ketiga-tiga ini pula mempunyai talian yang erat dengan tiga elemen lain, iaitu ilham, kreativiti dan inspirasi.
Menurut Ibn Qayyim, ilham disodorkan kepada seseorang dalam menentukan dirinya untuk menghantar dua jalan perutusan kepada khalayak. Dua jalan perutusan itu, sama ada yang membawa kepada jalan ketaqwaan atau kejelikan.
Hal ini selaras dengan ayat 8 Surah as-Syams yang menggagaskan kepentingan ilham: “...serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada jalan ketaqwaan.”
Maka, seseorang pengkarya yang dibekalkan ilham oleh Yang Maha Pencipta, sewajarnya menggunakan keistimewaannya itu untuk dimanfaatkan ke jalan ketakwaan dan kebaikan, bukannya kejelikan dan kebobrokan.
Penyaringan terhadap bahan yang akan ditulis wajib dibereskan sementelah pengkarya itu seorang Muslim. Fikirkan apakah natijah yang bakal diperoleh khalayak seusai membaca karya tersebut.
Bolehkah karya itu menjentik hati pembaca untuk mengutip selonggok berlian atau mutiara untuk dimanfaatkan dalam kehidupan sehari-harinya.
Perhatikan usaha yang dilakukan Hamka, sasterawan-ulama yang telah menghasilkan novel Di Bawah Lindungan Ka’abah, Tenggelamnya Kapal Vander Wick dan beberapa buah novelnya yang membawakan watak dan perwatakan manusia budiman.
Walaupun Hamka telah lama pulang ke kampung abadi, namun namanya tetapi meniti dalam kalangan pembaca nusantara. Malah karyanya menjadi sebutan dalam kalangan anak muda. Antara ungkapannya yang meninggalkan kesan ialah “manusia asalnya daripada tanah, makan hasil daripada tanah, berdiri di atas tanah, akan kembali ke tanah, kenapa masih bersifat langit?”
Ya, banyak ungkapan Hamka dalam hasil karyanya yang mengajak pembaca merenung dan bermuhasabah tentang kehidupan.
Karya Hamka sarat dengan falsafah yang akhirnya meninggalkan inspirasi kepada khalayak khususnya anak muda.
Kreativiti yang menjadi landasan kepada seseorang pengkarya merupakan anyaman berseni dalam pengkaryaan. Kreativiti dibangunkan sebagai pasak untuk menjunjung kebaikan, kebena-ran dan keindahan dalam berkarya.
Bagaimana gubahan kata-kata menjadi perkataan yang menyenangkan perasaan dan bagaimana jalinan bahasa dan gaya bahasa yang disusun dapat membugar semangat dan harapan. Perhatikan kreativiti Hamzah Fansuri dalam Syair Perahu yang menyuntik perasaan dan harapan untuk anak muda:
Inilah gerangan suatu madah,
mengarangkan syair terlalu indah,
membetuli jalan tempat berpindah,
di sanalah i’tikat diperbetuli sudah.
Wahai muda kenali dirimu,
ialah perahu tamsil tubuhmu,
tiadalah berapa lama hidupmu,
ke akhirat jua kekal hidupmu.
Hai muda arif-budiman,
hasilkan kemudi dengan pedoman,
alat perahumu jua kerjakan,
itulah jalan membetuli insan.
Karya sastera mengasuh akal dan budi manusia untuk berfikir tentang kebesaran Yang Maha Pencipta. Karya sastera mendidik nurani agar menghormati sesama manusia. Karya sastera mengajak pembaca kepada kecintaan kepada warisan leluhur nenek moyang.
Karya sastera memperkukuh jati diri dan mempertahan maruah yang dimiliki.
Perhatikan inspirasi yang diupayakan dalam sajak Ke Makam Bonda dan Guru Oh Guru karya Usman Awang. Sajak Ke Makam Bonda mengajak pembaca agar menyantuni ibu dengan sehabis daya kerana ibu merupakan insan yang melahirkan, dan membesarkan anak-anak dengan sarat pengorbanan yang luar biasa.
Sajak Guru Oh Guru pula menyeru khalayak supaya menghargai para guru yang mempunyai jasa yang besar.
Begitu juga terserlah inpirasi yang dibangunkan dalam cerpen Obsesi Cintamu, Zulaikha yang termuat dalam Kumpulan Cerpen Obsesi Cintamu Zulaikha (Nazri Hussein, ITBM, 2016) bukan sekadar meletakkan ‘cinta’ yang berkisar tentang hubungan manusiawi, malahan yang lebih penting hubungan manusia dengan Yang Maha Pencipta. Pengarang membangunkan watak Zulaikha sebagai seorang wanita muda yang kukuh keperibadiannya sebagai seorang Muslimah walaupun berada di perantauan. Cerpen ini dapat menebarkan inspirasi kepada khalayak pembaca khususnya anak muda agar meletakkan agama sebagai perisai kekuatan diri tatkala berada di negara orang terutama ketika berhadapan dengan dugaan daripada lelaki Yahudi yang berusaha untuk mendampinginya.
Ilham, kreativiti dan inspirasi merupakan hubungan yang mewangi dalam kamar hati pengkarya, karya dan khalayak. Secara rumusnya, ilham adalah milik pengkarya, kreativiti terserlah dalam karya dan inspirasi dapat menumbuhkan semangat untuk khalayak.
Kesepaduan ilham, kreativiti dan inspirasi dalam berkarya merupakan satu jambatan yang menghubungkan manusia dengan Yang Maha Pencipta, manusia dengan manusia dan hubungan manusia dengan alam.
Keserasian ketiga-tiga jalinan ini mudah-mudahan dapat membangunkan jiwa pembaca agar menjadi insan al-Kamil selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Negara bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.
Maka, baca dan hayati dengan sesungguhnya karya sastera Melayu yang kita ada!
* Profesor Madya Dr Kamariah Kamarudin ialah pensyarah di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!