Utamakan guru dalam vaksinasi fasa kedua

Mohd Azizee Hasan
Mohd Azizee Hasan
A
A
A

SEREMBAN - Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) menggesa kerajaan supaya terus mengutamakan guru dalam program vaksinasi fasa kedua.

Presidennya, Mohd Azizee Hasan berkata, langkah itu adalah selaras dengan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang memaklumkan terdapat 41 kluster jangkitan dari institusi pendidikan sejak Januari lalu.

"Justeru, kami menggesa suntikan vaksin ini tidak terhad kepada guru bertugas di sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sahaja tetapi turut diperluaskan ke sekolah yang mengguna pakai kurikulum KPM seperti sekolah agama rakyat (SAR), Kolej Genius, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan sekolah swasta dan tahfiz berdaftar di bawah KPM.

"Hal ini penting memandangkan sesi pembukaan persekolahan pada awal April nanti akan membabitkan pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima sesi 2021," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Sehubungan itu, pihaknya merayu dan menggesa KPM supaya memberikan keutamaan kepada guru kerana mereka adalah barisan hadapan utama dalam bidang pendidikan.

"Keselamatan serta kesihatan guru akan menjamin kelancaran sesi persekolahan dan menjamin murid-murid sentiasa dalam keadaan selamat.

"Langkah memperluaskan program vaksinasi ini akan mengurangkan risiko keciciran murid dan penutupan sekolah jika berlaku sebarang jangkitan.

"iGuru berharap keprihatinan pihak kerajaan berkaitan perkara ini adalah bukti komitmen kerajaan untuk melihat persekitaran institusi pendidikan menjadi lebih selamat dan masa depan pendidikan negara menjadi lebih baik," katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Guru dipertimbang terima imunisasi Covid-19 fasa pertama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!