Ahmad Zahid selar pemimpin UMNO sanggah keputusan parti
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan kepada perwakilan untuk mengambil tindakan terhadap pemimpin yang menyanggah keputusan parti.
Beliau berkata, tindakan itu jelas tidak selari dengan dasar dan ketetapan yang dibuat parti.
"Kalau ada dalam kalangan di atas pentas ini atau di luar menyanggah keputusan tertinggi (parti).
"Jika mereka menyanggah (keputusan) parti, saya serah kepada perwakilan (yang hadir pada Perhimpunan Agung UMNO) untuk ambil tindakan kepada mereka," katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, pada Ahad.
Menurut Ahmad Zahid, UMNO tetap tegas dengan pendirian dan tidak sesekali tunduk dengan pujuk rayu segelintir ahli yang mahu mengubah keputusan parti.
Katanya, perlu ditegaskan bahawa keputusan untuk tidak meneruskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sememangnya telah diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) sejak awal pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
"Walau ada orang mengatakan saya menggunakan kuasa veto, itu hanya satu tuduhan melulu.
"Perlembagaan UMNO tidak ada peruntukan untuk kuasa veto, semua keputusan yang dibuat adalah secara kolektif," katanya.
Jelasnya, apa sahaja yang diputuskan MKT adalah muktamad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!