KPN arah semua ketua polis daerah teliti, jaga kebajikan anggota

Abdul Hamid Bador
Abdul Hamid Bador
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengarahkan semua Ketua Polis Daerah di seluruh negara agar menjaga kebajikan serta meneliti secara dekat sebarang permasalahan dihadapi anggota mereka agar ia dapat ditangani lebih awal.

Beliau berkata, sekiranya ada anggota dikesan mempunyai masalah, mereka harus diberikan khidmat kaunseling atau bantuan awal bagi mencegah kejadian tidak diingini berlaku.

Mengambil iktibar kejadian seorang anggota polis berpangkat koperal dipercayai menembak mati anaknya berusia tujuh tahun sebelum menembak diri sendiri dalam kejadian di Jalan Widuri 1, Taman Sentosa Jaya, Seremban, Rabu lalu, Abdul Hamid berkata, beliau kecewa kerana pihaknya tidak dapat mengesan awal keadaan psikologinya.

“Saya berasa amat kecewa kerana kami tidak dapat mengesan keadaan psikologi anggota polis (detektif) itu. Ini bukanlah pertama kali kes ini berlaku, sebelum ini ada satu kes di Perak, seorang ibu mengunci diri bersama anak-anaknya dan membakar biliknya di dalam kuarters polis.

“Selain itu, sewaktu awal Perintah Kawalan Pergerakan ada anggota saya menembak dirinya di sekatan jalan raya kerana dia dikatakan mendengar suara halus menyuruhnya berbuat demikian,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Abdul Hamid berkata, sekiranya seseorang anggota polis menghadapi masalah psikologi dan tidak ditangani, ia amat berbahaya kerana anggota bertugas biasanya dibekalkan dengan senjata api.

“Banyak kes yang sama berlaku di luar negara dan saya akan kaji balik supaya perkara-perkara ini dapat dielakkan dengan intervensi awal,” katanya.

“Selain itu, maklumat yang saya terima daripada Ketua Polis Negeri Sembilan (Datuk Mohamad Mat Yusop) motif anggota polis itu membunuh diri adalah kecewa dan berdasarkan cerita saksi, anggota polis itu mempunyai masalah keluarga...dan ia sungguh tragis jika dia betul menembak anaknya sebelum menembak kepalanya. Bagaimana kes ini berlaku, ia masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Koperal dipercayai tembak anak sebelum tembak diri sendiri

Abdul Hamid berkata, beliau juga mengarahkan Mohamad untuk menyemak kembali sejarah perkhidmatan anggota polis berkenaan di tempatnya bertugas.

Pada Rabu lalu, anggota polis berkenaan bersama anak lelakinya ditemui maut selepas tembakan dilepaskan, dalam sebuah kereta jenis Proton Wira pada kira-kira 6.42 petang. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!