Perwakilan Kelantan desak UMNO segera putuskan hubungan dengan PN

Wan Mohamed Rosman Hassan
Wan Mohamed Rosman Hassan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemuda UMNO Kelantan sebulat suara mendesak supaya pimpinan UMNO Pusat memutuskan hubungan dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) serta-merta.

Perwakilannya, Wan Mohamed Rosman Hassan berkata, selaras dengan itu, semua ahli UMNO yang menjadi menteri, timbalan menteri dan memegang jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu meletak jawatan.

"Pemuda UMNO pernah didesak untuk menjadi anak jantan. Maka hari ini kami tuntut, kami desak semua ahli UMNO letak jawatan dalam Kabinet dan GLC.

"Tidak perlu tunggu sehingga PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15). Kita bukan nikah mutaah, tiada tempoh untuk bercerai.

"Kita janda kaya. Anak orang kaya. Kita sendiri kaya. Kenapa kita hendak bergantung dengan orang lain. Berdiri atas kekuatan kita sendiri," katanya ketika sesi perbahasan Pergerakan Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Ahad.

Wan Mohamed Rosman berkata, UMNO tidak perlu berasa gentar untuk bergerak bersendirian kerana parti itu sememangnya mempunyai kekuatan sendiri.

"UMNO diberi hak dalam kerajaan tetapi peranan yang diberikan tidak menepati aspirasi dan kehendak terhadap perkara asas, pokok serta tujuan UMNO itu sendiri.

"Maka bagi saya, lebih baik UMNO berada di luar daripada bersama yang akhirnya rakyat akan hilang kepercayaan kepada UMNO," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!