Kesalahan ekzos bising hanya dikenakan tindakan advokasi
KUALA LUMPUR - Buat masa ini, kesalahan menggunakan ekzos bising motosikal hanya akan dikenakan tindakan advokasi, iaitu pengeluaran notis untuk temu siasat.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, perkara itu telah dimaklumkan oleh beliau kepada Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Zailani Hashim agar pesalah tidak dikenakan tindakan saman.
Ka Siong yang juga Presiden MCA juga memberitahu beliau meneliti ucapan Presiden (UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) termasuk pandangan beliau tentang penguatkuasaan terhadap ekzos bising motosikal.
"Saya ingin maklumkan bahawa MOT (Kementerian Pengangkutan) telah membuat satu keputusan, bahawa pada peringkat ini lebih elok tumpukan kepada pendekatan advokasi iaitu dikeluarkan Notis 114 daripada tindakan saman," katanya kepada media selepas menghadiri perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2020, di sini pada Ahad.
Notis 114 ialah notis panggilan temu siasat dan mereka yang menerima notis itu perlu tampil memberikan keterangan di mana-mana cawangan JPJ untuk membantu siasatan.
Dalam pada itu, Ka Siong berkata, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah JPJ bagi menyelaraskan tindakan advokasi tersebut memandangkan langkah berkenaan turut melibatkan polis trafik.
Kerajaan sebelum ini menguatkuasakan saman hingga RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan kepada pemilik motosikal yang mengubah suai kenderaan menggunakan ekzos bising.
Di bawah peruntukan Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987, polis diberikan kuasa menyita motosikal bagi mengelakkan kesalahan sama berulang.
Setakat 5 Mac lalu, sebanyak 10,166 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan dalam Operasi Khas Ubah suai Ekzos (bising) di seluruh negara bermula 1 Mac, menurut Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.
Isu itu disentuh oleh Ahmad Zahid dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung UMNO pagi tadi yang berkata, beliau dimaklumkan tentang motosikal disita kerana ekzos yang diubah suai.
"Janganlah sampai disita. Bagaimana mereka ingin meneruskan survival kehidupan sedangkan itulah satu-satunya kenderaan yang mereka ada untuk mencari rezeki. Apakah kita sudah buta hati, dan kejam, membiarkan kehidupan rakyat terus menerus terbeban? Rakyat kecewa dan terus merana," kata Ahmad Zahid. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!