Inkues Adib: Jawatankuasa kuil fail notis gantung prosiding
SHAH ALAM - Jawatankuasa Menyelamatkan Kuil Sri Maha Mariamman Seafied memfailkan notis usul untuk menggantungkan perbicaraan inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang sedang berlangsung di Mahkamah Koroner Shah Alam.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Hamdan Hamzah kepada pemberita selepas prosiding hari kelima inkues ditangguhkan.
“Pejabat kami menerima notis itu semalam,” katanya.
Terdahulu, Hamdan selaku Pegawai Pengendali Inkues memohon mahkamah menangguhkan prosiding inkuri tersebut yang sepatutnya berjalan sepanjang hari atas alasan perlu menyiapkan hujahan berhubung rayuan Jawatankuasa itu di Mahkamah Rayuan.
“Walaupun masih tiada tarikh ditetapkan untuk pendengaran, saya percaya ia akan berlangsung pada minggu hadapan dan kami perlukan masa petang ini untuk menyediakan hujahan,” katanya.
Koroner Rofiah Mohammad membenarkan permohonan itu dan prosiding ditangguhkan kepada Isnin jam 10.30 pagi.
Pada 31 Januari lalu, Mahkamah Koroner menolak permohonan jawatankuasa itu untuk menyertai pihak-pihak berkepentingan dalam prosiding tersebut atas alasan tidak mempunyai kepentingan nyata, substansif dan munasabah.
ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah tolak permohonan task force Kuil Sri Maha Mariamman
Kuil tersebut kemudiannya memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.
Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam turut menolak permohonan jawatankuasa kuil itu dan bersetuju terhadap keputusan Mahkamah Koroner.
Permohonan jawatankuasa kuil tersebut akan didengari di Mahkamah Rayuan setelah mereka memfailkan notis rayuan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan pada 11 Februari lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!