Dua ditahan, 1,110 bungkusan air ketum dirampas
KAJANG - Enam tong ais berisi 1,110 bungkusan dipercayai air ketum bernilai kira-kira RM11,100 dirampas dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Seksyen 2/15 Kajang Utama pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, dalam serbuan pada jam 3.30 petang itu, polis turut menahan dua lelaki warga tempatan berumur 30-an dan 50-an untuk membantu siasatan.
Beliau berkata, air ketum yang siap diproses itu dipercayai untuk diedarkan kepada pelanggan di sekitar Kajang.
"Kedua-dua suspek serta rampasan dibawa ke Balai Polis Kajang untuk tindakan lanjut. Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurutnya, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM 10,000 atau kedua sekali.
Katanya, serbuan berkenaan kali kedua dilakukan pada Mac 2021.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!