GKP 3.0 beri manfaat kepada 1.2 juta PKS mikro
KUALA LUMPUR - Geran Khas Prihatin (GKP) 3.0 yang melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM1.2 bilion akan memberi manfaat kepada hampir 1.2 juta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro tempatan.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, setelah pangkalan data GKP dikemas kinikan, pembayaran GKP 3.0 akan mula dibuat pada Jun 2021.
“Mengambil kira GKP 1.0, GKP 2.0, GKP Tambahan dan GKP 3.0, jumlah keseluruhan bantuan kewangan GKP yang telah dan akan dimanfaatkan oleh lebih kurang 1.2 juta PKS mikro adalah sebanyak RM4.78 bilion,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, setiap PKS mikro yang layak akan menerima bantuan sekali bayar GKP 3.0 sebanyak RM1,000 manakala penerima sedia ada GKP 1.0 dan GKP 2.0 akan menerima bayaran tambahan RM1,000 tanpa perlu membuat permohonan semula.
Bagi PKS mikro yang tidak pernah menerima GKP sebelum ini, permohonan GKP 3.0 akan dibuka secara dalam talian melalui Portal GKP, iaitu https://gkp.hasil.gov.my/ mulai 1 hingga 15 April, 2021, katanya.
Tengku Zafrul berkata, bagi PKS mikro yang permohonannya tidak lulus dan belum menerima GKP sebelum ini, mereka masih berpeluang untuk mengemukakan permohonan bagi semakan semula.
“PKS mikro yang layak untuk GKP 3.0 adalah perniagaan yang menepati kriteria PKS mikro dan juga berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, pihak berkuasa tempatan atau Lembaga Hasil Dalam Negeri setakat 28 Februari 2021,” katanya.
Beliau berkata, GKP 3.0 merupakan sokongan berterusan kerajaan di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) bagi sektor perniagaan khususnya PKS mikro tempatan.
Ia bertujuan meringankan beban kewangan PKS mikro agar mereka mampu menggiatkan semula perniagaan dalam tempoh yang masih mencabar, katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!