PKR bantah tangguh undi 18
SHAH ALAM - Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (MPP PKR) membantah keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menangguhkan pelaksanaan undi 18 tahun.
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya tidak boleh menerima keputusan SPR untuk menangguhkan pelaksanaan Undi 18.
"MPP PKR mengambil pendirian tegas bahawa undi 18 mesti dilaksanakan sekarang," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurutnya, isu Undi 18 adalah salah satu daripada beberapa perkara yang dibincangkan MPP PKR dalam mesyuarat bulanan pada Ahad.
Katanya, MPP PKR juga telah bersetuju mewujudkan satu struktur di bawah parti khusus untuk orang kelainan upaya (OKU) bagi memperjuangkan yang melibatkan golongan OKU.
Pada masa sama, MPP PKR turut melahirkan kerisauan terhadap beberapa laporan media berhubung kewujudan ‘kartel’ dalam kalangan pegawai polis yang dipercayai berniat menjatuhkan Ketua Polis Negara.
“MPP bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong segala usaha menghapuskan kartel polis.
“Ini akan menyumbangkan terjejasnya integriti dan kewibawaan institusi Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.
Dalam pada itu, MPP PKR turut membincangkan isu pengangguran terutama dalam kalangan anak muda yang dipercayai berada pada tahap 13.2 peratus kadar pengangguran nasional.
“Kadar keterlibatan wanita di dalam pasaran kerja juga dipercayai telah berkurang 0.5 peratus kepada 55.1 peratus.
“Keadaan ini amat membimbangkan dan Keadilan akan merangka beberapa dasar bagi mengatasi isu pengangguran anak muda dan keterlibatan wanita ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!