Presiden Haiti enggan berganjak
PORT-AU-PRINCE - HAITI. Presiden Jovenel Moise bertegas enggan meninggalkan negara di tangan kumpulan bersenjata dan pengedar dadah, di saat Haiti berdepan protes berterusan.
Moise yang berdiam diri selama ini akhirnya bersuara menerusi siaran televisyen, seminggu selepas pertempuran ganas yang mengakibatkan sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh.
Protes di Port-au-Prince menyaksikan penunjuk perasaan membakar tayar dan membaling batu ke arah pihak polis sambil menuntut peletakan jawatan Moise yang dituduh terlibat dalam rasuah.
Susulan situasi kucar-kacir di Haiti, kerajaan Amerika Syarikat (AS) telah mengarahkan kesemua anggota dan petugas AS yang tidak mempunyai kepentingan kecemasan serta ahli keluarga mereka meninggalkan negara itu, sementara Kanada pula bertindak menutup sementara kedutaannya.
Ketegangan turut menyebabkan pelancong asing terperangkap di hotel berikutan risiko keselamatan.
Dalam pada itu, usaha Moise untuk mengadakan rundingan dengan pihak pembangkang, setakat ini menemui jalan buntu.
Kumpulan pembangkang di negara termiskin di Caribbean itu melancarkan protes besar-besaran selepas laporan mahkamah mengatakan terdapat pegawai dan bekas menteri yang terlibat menyeleweng pinjaman dari Venezuela selepas tahun 2008.
Laporan turut mendakwa Presiden Moise yang memegang kuasa sejak 2017 terlibat dalam perbuatan salah laku. - BBC
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!